PENG Soon (kanan) akui terasa kehilangan Kim Her.
PENG Soon (kanan) akui terasa kehilangan Kim Her.

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon mengakui terasa kehilangan jurulatihnya, Tan Kim Her yang bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk berhijrah ke India hujung bulan depan.

Peng Soon berkata, dia sudah mula serasi dengan corak latihan Kim Her walaupun hanya tiga bulan berada di bawah bimbingan jurulatih berkenaan.

“Saya hanya boleh ucapkan selamat jalan dan maju jaya kepada beliau. Selama ini beliau menjaga dan melatih kami dengan baik walaupun hanya beberapa bulan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, sepanjang berada di bawah bimbingan Kim Her, mereka mampu memberi kerjasama baik dan walaupun selepas ini tidak akan bersama lagi, Peng Soon mengakui perjuangan harus diteruskan seperti biasa.

“Walaupun dengan kehadiran atau tanpa Kim Her kami harus berlatih seperti biasa kerana selepas ini pelbagai kejohanan harus ditempuhi termasuk Kejohanan Dunia 2015 Jakarta yang berlangsung bulan depan,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen mengesahkan Kim Her bakal meninggalkan badan induk itu hujung bulan depan untuk menyertai Persatuan Badminton India (BAI).

Dalam pada itu, Peng Soon dan pasangannya Goh Liu Ying yang masih segar dengan kejuaraan Grand Prix (GP) Terbuka Russia tidak mahu berasa cepat puas hati kerana mempunyai tempoh seminggu lebih untuk mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia.

“Tidak ada rehat buat kami, fokus sekarang ialah Kejohanan Dunia apabila disenaraikan pada saat akhir berikutan penarikan diri beberapa wakil lain.

“Kami akan cuba memberikan aksi terbaik kerana ini peluang untuk menambah mata ranking dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Tambahnya, kali ini dia mengharapkan mampu pergi jauh berbanding 2011 apabila mara sehingga ke pusingan ketiga.

Berdasarkan undian dikeluarkan semalam Peng Soon-Liu Ying akan menentang pasangan Amerika Syarikat Howard Shu-Eva Lee pada aksi pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:26 AM