Paris: Layvin Kurzawa menyerlah ketika pasukan yang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu, AS Monaco mengorak langkah besar untuk layak ke pusingan play-off Liga Juara-Juara musim ini dengan kemenangan 3-1 ke atas kelab Switzerland, Young Boys pada perlawanan pertama, pusingan ketiga kelayakan, awal pagi semalam.

Pertahanan Perancis berusia 22 tahun itu menghalang cubaan ke arah gol oleh penyerang Jepun, Yuya Kubo di atas garisan pada minit ke-62 dan kemudian dua minit kemudian menjaringkan gol dengan sepakan voli menakjubkan hasil hantaran silang Fabinho.

Ia menyemarakkan lagi perlawanan itu dengan tiga gol lagi hadir dalam tempoh 11 minit berikutnya.

Mereka menggandakan kedudukan menerusi pemain Argentina, Guido Carillo, yang baru masuk seminit saja menggantikan seorang lagi muka baru penyerang Portugis, Ivan Cavaleiro, dengan tandukan padu berikutan sepakan percuma perancang Joao Moutinho pada minit ke-72.

Young Boys bagaimanapun merapatkan kedudukan apabila pemain tengah veteran Raphael Nuzolo menyumbat masuk 16 minit sebelum tamat.

Namun harapan mereka berkubur tidak sampai seminit apabila pemain Croatia, Mario Pasalic, yang dipinjam dari kelab juara Inggeris, Chelsea, menjaringkan gol menerusi rembatan kencang dari hujung petak penalti.

Ketika perlawanan kedua pasti mudah buat Monaco, tugas getir menanti mereka dengan pasukan seperti Manchester United dan Valencia berpotensi menentang mereka pada pusingan akhir kelayakan dengan pemenang mara ke peringkat kumpulan pertandingan lumayan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:30 AM