VIDAL menyarung jersi Bayern.
VIDAL menyarung jersi Bayern.
AP

Munich: Bayern Munich melengkapkan perpindahan dinanti-nanti pemain tengah Chile, Arturo Vidal dari kelab juara Itali, Juventus, awal pagi semalam.

Kelab juara Bundesliga itu menyatakan Vidal menandatangani kontrak empat tahun dengan pilihan tambahan semusim lagi.

“Saya mahu mengorak langkah besar dalam karier saya,” kata Vidal. “Saya mahu terus berkembang sebagai pemain dan mahu memenangi kejuaraan penting seperti Liga Juara-Juara. Saya lihat Bayern sebagai peluang terbaik melunaskan impian itu.”

Pemain itu diperkenalkan secara rasmi awal pagi semalam. Pengarah Bayern, Matthias Sammer memanggil Vidal sebagai “seorang juara”.

“Saya dapati cara dia bermain bola sepak amat mengagumkan, ia sesuatu yang istimewa,” jelas Sammer.

Bayern tidak mendedahkan butiran kewangan kontrak itu. Namun laporan media Itali menyebut Bayern membayar 36 juta euro (RM151.7 juta), meningkat kepada 40 juta euro (RM168.6 juta) termasuk bonus untuk membawa pemain berusia 28 tahun itu kembali ke Bundesliga.

Jika benar, angka itu menjadikan Vidal seorang daripada pemain termahal dalam pasaran perpindahan Bundesliga.

Vidal menyumbat 15 gol dalam 117 perlawanan liga bagi tempoh empat musim bersama Bayer Leverkusen sebelum menyertai Juventus pada 2011.

Pemain tengah itu dijangka mengisi kekosongan berikutan perpindahan Bastian Schweinsteiger ke Manchester United.

“Saya sedia untuk bermain jika jurulatih mahu,” kata Vidal mengenai Piala Super Jerman menentang Wolfsburg, Sabtu ini.

Vidal dibawa ke Jerman pada usia 20 tahun dari kelab Chile, Colo-Colo oleh pengarah skuad Leverkusen ketika itu, Michael Reschke. Reschke dilantik sebagai pengarah Bayern bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:31 AM