PEMAIN negara, Mussolini Magele dibelasah beberapa pemain Algeria pada perlawanan akhir di Politeknik Merlimau, bulan lalu.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Enggan bersekongkol dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang sengaja melengah-lengahkan keputusan Jawatankuasa Khas ditubuhkan khusus bagi menyiasat punca sebenar insiden tumbuk-menumbuk ketika kejohanan Piala Crescent bulan lalu, penganjurnya JustOnSports (JOS) tampil mendedahkan kisah sebenar di sebalik kejadian memalukan itu.

Menerusi laporan penuh jawatankuasa bebas itu di samping rakaman video diperoleh daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), mereka mendakwa pemain Malaysia sebenarnya yang mencetuskan insiden pergaduhan itu sebelum berlarutan menjadi lebih besar.

Malah hasil siasatan laporan itu juga menunjukkan hanya seorang pemain negara yang dibawa ke Hospital Besar Melaka bagi mendapatkan rawatan dan bukannya 12 seperti mana didakwa badan induk ragbi tempatan itu.

Menurut Pengarah Kejohanan Dr Rosnan Shafie, selepas menunggu lebih sebulan bagi mendapatkan keputusan jawatankuasa itu, pihaknya mendapati banyak kesilapan dan kelemahan yang cuba disorokkan KRM dengan niat untuk menjatuhkan imej penganjur.

Katanya, laporan polis yang dibuat pengurus pasukan kebangsaan Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss jelas tidak tepat kerana insiden itu berlaku ketika dalam tempoh permainan, justeru kejadian berkenaan seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin kejohanan.

“Banyak keraguan yang timbul daripada insiden itu malah KRM juga sengaja melambat-lambatkan hukuman dengan siasatan kini berpindah tangan kepada ARFU (Kesatuan Ragbi Asia).

“Apabila siasatan berjalan terlalu lama walaupun semua bukti sudah dikemukakan, ARFU terpaksa campur tangan kerana isu ini juga mendapat liputan meluas media antarabangsa.

“Saya juga dimaklumkan sehingga ke hari ini tidak ada seorang pemain atau pegawai pasukan negara datang ke Balai Polis Merlimau untuk disoal siasat biarpun sudah dipanggil berkali-kali dengan menyatakan pelbagai alasan.

“Natijahnya, 11 pemain Algeria terbabit dalam insiden itu kini tidak boleh beraksi bersama pasukan kebangsaan mereka atau kelab kerana laporan polis yang dibuat berhubung insiden itu.

“Atas faktor kemanusiaan, sekurang-kurangnya tarik balik laporan polis itu kerana ada di antara pemain itu yang mencari rezeki dengan bermain ragbi,” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP, Bangsar, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, pemain Algeria dilaporkan mengamuk sehingga membelasah pemain Malaysia susulan keputusan pengadil yang didakwa menyebelahi pasukan tuan rumah.

Aksi final itu menyaksikan Malaysia muncul juara apabila perlawanan ditamatkan dua minit lebih awal dengan keputusan 19-11.

Jelasnya, pihaknya juga bercadang mengambil tindakan saman terhadap Pengurus Besar KRM Mohd Mazuri Sallehudin kerana mengeluarkan kenyataan media tanpa fakta tepat.

“Kami mengambil serius kenyataan Mazuri yang sengaja menjatuhkan imej penganjur menerusi kenyataannya dalam akhbar tempatan.

“Kalau nak tahu, beliau tidak pernah hadir sepanjang kejohanan itu, jadi bagaimana individu yang tidak ada di lokasi kejadian boleh mengeluarkan kenyataan menyalahkan penganjur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:45 AM