REAKSI ceria remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemani bekas penjaganya, Norfitri Osda, 42, ketika mengikuti perbicaraan kes ibunya, Lolanopita Sadi, 40, di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
REAKSI ceria remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemani bekas penjaganya, Norfitri Osda, 42, ketika mengikuti perbicaraan kes ibunya, Lolanopita Sadi, 40, di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Ibu kepada remaja kurang upaya Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Lolanopita Sadi, 40, menukar pengakuan sejurus jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Lolanapita yang memakai baju kurung warna ungu, sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di mahkamah sama pada 27 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mengabaikan anaknya itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-1-9 Flat Semarak, Nilai, dekat sini, antara Januari hingga jam 2.30 pagi 21 Jun lalu.

Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu, tertuduh boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Lolanopita berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali yang mana jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 33 (c) akta sama kerana dengan sengaja membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan berpatutan dalam keadaan tidak berpatutan di tempat sama jam 2.30 pagi 21 Jun lalu.

Pendakwaaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November depan untuk hujahan mitigasi oleh pihak pembelaan dan hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 2:09 PM