mutakhir

2 mualaf sekadar alas perut dengan mi segera, biskut kering [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Diuji dengan kesempitan hidup, dua beradik mualaf di Taman Machang Bubok, di sini, terpaksa mencatu makanan dan hanya mengalas perut dengan mi segera atau biskut kering setiap hari.

Abdul Rahman Lim, 56, dan abangnya, Abdul Rahim Lim, 57, kadang kala hanya mendapat ihsan jiran tetangga yang menghulurkan bantuan makanan dan wang ringgit kepada mereka berdua untuk meneruskan hidup, selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Meskipun hidup susah, Abdul Rahman berkata, dia dan abangnya tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh biarpun hanya dengan pemberian jiran dan sekadar menjamah mi segera serta biskut kering.

Katanya, dia juga berharap masyarakat tidak memandang serong dengan keadaan hidup yang dilalui mereka berdua.

"Saya pernah terbabit kemalangan September lalu menyebabkan sukar untuk bekerja, selain tidak mempunyai sebarang kenderaan.

"Untuk mencari wang, saya keluar berjalan kaki membuat pelbagai kerja sambilan bagi mendapatkan upah di kedai, namun bukan setiap hari sebab perlu menjaga abang yang mempunyai masalah sawan.

"Abang juga pernah terbabit kemalangan sehingga kehilangan kaki kirinya dan kini menerima bantuan RM200 sebulan daripada JKM.

"Mujur rumah yang didiami ini dibeli abang ketika bekerja dulu dan kami tidak perlu menyewa," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, sejak memeluk Islam pada Mac tahun lalu, dia dan dan abangnya sentiasa bersyukur meskipun diuji dengan kesempitan hidup.

"Ramai (jiran) yang tahu keadaan saya dan abang, kadang kala terpaksa tebalkan muka untuk minta tolong sebab tak tahu nak cari duit untuk makan.

"Kami bersyukur kerana saudara sesama Muslim sentiasa membantu dan inilah keindahan yang kami nampak, bahkan kami lebih tenang walaupun diuji dengan masalah," katanya.

Bagi Abdul Rahim pula, dia memang hendak bekerja, malah sebelum kehilangan kaki akibat terbabit kemalangan dan kehilangan kerja, dia pernah bermain muzik untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun, katanya, lama kelamaan dia diuji pula dengan penyakit sawan dan tidak dapat bermain muzik lagi.

"Adik pula kerap mengambil upah dengan buat kerja sambilan tetapi disebabkan saya sering terkena sawan, susah untuk dia keluar.

"Tambahan pula sekarang penularan Covid-19 kian memburuk, semakin sukar mendapatkan kerja," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 12:36pm
d