Skip this ad x
KEADAAN lengang di sekitar kaunter bayaran dan khidmat nasihat 'One Stop Centre' PTPTN cawangan Shah Alam. FOTO Rosdan Wahid
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyenaraikan 173,985 peminjam yang tidak pernah membuat sebarang bayaran ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bermula Januari 2015.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah tunggakan bayaran balik membabitkan peminjam berkenaan ialah RM1.23 bilion.

Katanya, tindakan memasukkan nama peminjam yang culas dan gagal membuat bayaran balik pinjaman pendidikan itu diharap dapat mendisiplinkan peminjam supaya membuat bayaran balik.

Menurutnya, berikutan sumber kewangan yang semakin terhad PTPTN memutuskan pembiayaan baru untuk pelajar IPTA dan politeknik dikurangkan sebanyak lima peratus dan pelajar IPTS sebanyak 15 peratus daripada jumlah sedia ada mulai 1 November lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah pembiayaan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan.

"Peratusan pengurangan jumlah pinjaman ini juga akan dapat merapatkan jurang jumlah pinjaman di antara pelajar IPTA dan IPTS," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk tahun ini sehingga September lalu kutipan bayaran balik peminjam berjumlah RM447.01 juta berbanding sasaran tahun ini RM850 juta.

Katanya, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diterima sehingga September lalu berjumlah RM5.41 bilion membabitkan 996,610 peminjam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:10 PM