Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas 40,100 paket lampin pakai buang yang dipercayai menggunakan jenama tiruan.

Pengarahnya Abdul Ghani Harun berkata, seramai 15 anggota termasuk pegawai penguatkuasa menyerbu dua premis di Rantau Panjang, Pasir Mas berhubung aduan yang diterima daripada pemilik jenama lampin pakai buang itu.

"Dalam serbuan Rabu lalu itu, turut dirampas sebuah lori kontena yang berada di sebuah premis berkenaan dan di dalam lori itu berisi 15,560 paket lampin pakai buang.

"Kita anggarkan jumlah keseluruhan bernilai RM518,670, termasuk lori kontena itu," katanya kepada pemberita di Stor Penyimpanan KPDNKK Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemilik jenama berkenaan telah membuat aduan kerana mendapati produk yang dikeluarkan telah ditiru dan dijual dengan harga yang lebih murah.

"Lampin pakai buang tiruan itu dijual dengan harga lebih murah iaitu RM6.70 bagi satu paket. Kita mengesan produk itu ada dalam pasaran negara kita tetapi tidak pasti mereka nak pasarkan ke mana," katanya.

Katanya, tindakan susulan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya (individu) dan RM15,000 bagi setiap barang (Syarikat) jika sabit kesalahan.

Abd Ghani berkata, orang ramai boleh menyalurkan aduan terus kepada pihaknya dengan menghubungi talian 'hotline' 1 800 886 800 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip "KPDNKK ADUAN " dan hantar ke 15888.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 6:44 PM