NAIMEY Abd Jalil.
NAIMEY bersama rakan karibnya yang turut bersama-sama mengasaskan CaryaZara, Nik Zalina.
BERPERWATAKAN menarik serta petah berbicara antara kekuatan Naimey.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Dia akui berasal dari kawasan pedalaman yang tidak mempunyai pelbagai kemudahan serta pembangunan pesat seperti di bandar besar.

Pada masa sama, wanita ini juga tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga yang terbabit dalam bidang perniagaan. Namun itu semua sedikit pun tidak menjadi penghalang buat wanita berjiwa kental dan berpersonaliti menarik ini untuk berjaya mengusahakan empayar perniagaan menerusi jenamanya sendiri.

Berasal dari Jeli, Kelantan, anak kedua daripada lima beradik ini sememangnya berjaya membuktikan sesiapa saja mampu berjaya asalkan mempunyai keazaman serta usaha tanpa mengenal erti putus asa.

Nyata, pemilik nama Naimey Abd Jalil, 30, yang bijak menyusun setiap patah perkataan ketika berbicara mampu tersenyum bangga selepas penat lelahnya sejak 2013 mengusahakan perniagaan berasaskan fesyen dan kecantikan bersama teman karibnya kini membuahkan hasil.

Menceritakan detik permulaan terbabit dalam bidang perniagaan, Naimey yang juga pengasas jenama fesyen CaryaZara mengakui terlalu banyak suka duka serta dugaan yang dihadapinya terutama ketika tahun awal pembabitannya.

“Ketika itu saya baru saja memulakan kerjaya sebagai pensyarah secara kontrak di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA)di Kelantan.

“Pada masa sama, saya juga melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di sebuah IPTA di Kuala Lumpur yang memerlukan saya untuk berulang-alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu,” ujarnya.

Menurut Naimey, perjalanan dari Kelantan ke ibu kota nyata menelan kos perbelanjaan yang besar selain perlu menampung kos pembelajaran justeru ia penyebab utama dia mula memikirkan jalan untuk menambah pendapatan.

“Ketika itu juga saya sering bertemu seorang rakan karib dari kampung yang bekerja di Kuala Lumpur yang mula mengajak saya terbabit dalam perniagaan.

“Dengan semangat membara dan berbekalkan sedikit wang simpanan, saya bersetuju terbabit dalam bidang fesyen dengan menjalankan perniagaan borong pakaian menerusi jenama CaryaZara di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas keputusannya itu menjadi permulaan kepadanya menerima segala ujian serta dugaan untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

“Ketika itu saya yakin berbekalkan ilmu bergelar graduan dalam bidang pengurusan perniagaan mampu digunakan untuk menjalankan perniagaan, namun sangkaan saya itu meleset apabila satu persatu dugaan perlu ditempuh.

“Hakikatnya, bukan mudah menjalankan perniagaan terutama untuk memperkenalkan jenama baru kepada masyarakat di negara ini,” ujarnya.

Masak sendiri untuk berjimat

Modal termasuk wang antara dugaan utama ketika baru memulakan perniagaan. Disebabkan itu, dia dan teman karibnya, Nik Zalina Nik ­Abdullah, 32, yang bersama-sama menjalankan perniagaan ini perlu menyusun perbelanjaan harian sebaik mungkin.

“Saya dan Nik tidak makan di luar atau membeli makanan dari restoran atau kedai makan untuk berjimat. Setiap hari sebelum ke kedai di Jalan Kenanga itu, kami masak nasi serta satu lauk untuk dijadikan makanan pagi, tengah hari dan malam.

“Bagi saya, setiap perbelanjaan perlu dikawal untuk memastikan saya dan Nik dapat meneruskan perniagaan serta kehidupan di ibu kota ini,” ujarnya.

Menurut Naimey, kekurangan modal juga menjadi halangan utama kepadanya untuk melakukan pemasaran bagi mempromosikan jenamanya ketika itu.

“Pada awal 2013, penjualan secara dalam talian tidaklah begitu memberangsangkan dan ia belum lagi meluas menyebabkan saya semakin ketandusan idea untuk mempromosikan pakaian.

“Menitis air mata apabila hampir setiap hari tidak ada seorang pun pelanggan yang datang membeli pakaian jenama kami yang dijalankan secara borong,” katanya.

Naimey berkata, memikirkan stok pakaian yang banyak di kedai serta tidak berusik, dia bersama rakannya tekad menjaja pakaian jenamanya dari satu kedai ke satu kedai bagi memperkenalkannya kepada umum.

“Saya tebalkan muka dan bawa stok baju di dalam kereta sebelum berhenti di kedai di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu serta Pahang untuk mempromosikan jenama saya.

“Alhamdulillah, bermula dari situ, CaryaZara mula dikenali dan ada pelanggan yang berminat menjadi agen serta membeli secara borong,” ujarnya.

Benar kata orang, usaha tanpa putus asa pasti akhirnya membuahkan hasil membanggakan dan ia berjaya dibuktikan Naimey dan Nik Zalina.

“Selepas CaryaZara mula dikenali umum, saya berjaya membuka sebuah butik pakaian di The Strand, Kota Damansara khusus untuk pelanggan yang berminat membeli pakaian secara runcit.

“Pada masa sama, penjualan secara dalam talian semakin meluas dan ia memudahkan jenama ini dikenali dan mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.

Bermula tahun lalu, perniagaannya semakin berkembang dan sehingga kini, CaryaZara berjaya mengeluarkan hampir 100 koleksi keluaran pakaian khusus buat wanita.

“Syukur, atas usaha dan semangat tidak berputus asa kini saya mampu berbangga dengan apa yang saya usahakan ini terutama apabila jenama ini mempunyai peminat setianya.

“Kini, kami juga mempunyai lebih 100 ejen sah CaryaZara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Singapura,” ujarnya.

Menurut Naimey, dia amat terharu apabila kebanyakan koleksi CaryaZara habis dijual setiap kali ia dikeluarkan dan ia menjadi pemangkin semangatnya untuk lebih berusaha gigih terutama dalam menghasilkan rekaan digemari ramai.

Sokongan padu

Hakikatnya, pada permulaan keluarga Naimey tidak begitu mempercayai impiannya untuk bergelar ahli perniagaan berjaya akan tercapai.

“Bukan keluarga tidak menyokong tetapi disebabkan saya anak tunggal perempuan dalam keluarga, mereka lebih suka saya tinggal di kampung dan meneruskan kerjaya sebagai pensyarah ketika itu.

“Namun saya berjaya membuktikan impian saya bukan sekadar impian kosong dan kini keluarga berbangga dengan apa yang saya lakukan serta mereka amat memberi sokongan dan semangat untuk saya terus berjaya,” katanya.

aimey yang juga graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan turut mengakui tanpa sokongan serta doa daripada keluarga, dia tidak berada di tempatnya kini.

“Sesibuk mana pun saya kini, saya akan pastikan mempunyai masa pulang ke kampung halaman menjenguk ahli keluarga dan menggembirakan mereka.

“Saya yakin keberkatan dan kejayaan yang dilalui seseorang itu hasil doa serta keberkatan ibu bapa mereka di samping usaha keras yang dilakukan,” ujarnya.

Naimey juga kini memasang impian untuk menyambung pengajiannya di peringkat doktor falsafah bagi memperkukuhkan tahap pendidikannya.

“Selain ingin terus berjaya dalam bidang perniagaan, saya juga berazam untuk melanjutkan pengajian dalam tempoh terdekat ini.

“Impian serta harapan saya supaya CaryaZara semakin mendapat tempat di hati penggemar fesyen dan perniagaan dijalankan ini membuahkan hasil membanggakan pada masa akan datang,” katanya yang turut menanam impian untuk membuka lebih banyak cawangan jenamanya selain di kedai borong di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur serta di butik CaryaZara di Kota Damansara.

“Tidak salah untuk sesiapa saja memasang impian mengecap kejayaan kerana dengan angan-angan disertakan usaha, pasti mampu berjaya dalam apa juga bidang perniagaan diceburi.

“Walaupun agak baru dalam bidang ini dan masih belum berpuas hati sepenuhnya, saya yakin mampu membina empayar perniagaan saya sendiri,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 11:11 AM