ANTARA koleksi keris Amin.
ANTARA koleksi keris Amin.
AMIN kini memiliki lebih daripada 100 keris.
AMIN kini memiliki lebih daripada 100 keris.
AMIN melakukan demonstrasi keris berdiri.
AMIN melakukan demonstrasi keris berdiri.
Oleh Rodly Fadly


Keris adalah senjata yang menjadi lambang kepahlawanan Melayu zaman silam, malah ia turut digunakan sebagai alat kebesaran, simbol kuasa dan kedaulatan bangsa. Namun, warisan itu kini semakin dipinggirkan.

Bagi seniman, S Amin Shahab, tidak mustahil warisan ini akan pupus jika langkah tertentu tidak diambil bagi mengekalkan keris sebagai lambang bangsa Melayu.

“Melayu tidak akan hilang di dunia, itu kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah. Tapi, tidak mustahil, keris akan hilang di dunia jika kita tidak menjaganya, sedangkan ia lambang kepahlawanan orang Melayu,” katanya.

Justeru, bermula sebagai hobi, Amin yang menyimpan pelbagai koleksi keris mewujudkan galeri khas untuk ‘menyelamatkan’ harta yang bernilai itu.

Amin memiliki lebih 100 bilah keris yang dikumpulnya sejak 1996. Ada keris yang diperoleh selepas menukar lukisannya kepada pemilik senjata tajam itu.

“Minat saya mengumpul keris ini bermula pada 1996 bila seorang guru silat dari Kedah yang saya panggil Tok Awang, menghadiahkan dua bilah keris.

“Hobi baru ini mempunyai satu kuasa tarikan, pantang mendengar ada pameran mengenai keris, saya akan pergi. Lama-kelamaan saya mengenali lebih ramai penggemar keris dan kami bertukar pandangan mengenai keris dan senjata itu.

“Jiwa saya tenang apabila berinteraksi dengan keris ini, seolah-olah ia mempunyai jiwa dan memahami apa yang saya katakan.

“Sambil mengelap atau mencuci keris ini, saya ‘berbual-bual’ dengan mereka dan jika ada orang tengok, mungkin mereka menganggap saya kurang siuman,” katanya.

Berbanding pengemar keris lain, Amin tidak memilih keris, asalkan sedap matanya memandang, dia membelinya.

“Ada orang suka mengumpul keris lama mungkin dijadikan barang antik, tapi sebagai insan seni, saya menilai keris kerana seni ukirannya.

“Mungkin bentuk kerisnya kurang menarik, tapi seni ukiran ulunya luar biasa, saya beli.

“Setakat ini, keris paling mahal pernah saya beli bernilai RM12,000 tapi saya anggap berbaloi,” katanya.

Mengenai mistik yang dikaitkan dengan keris, katanya ia bergantung kepada niat seseorang.

“Saya banyak mendengar pelbagai cerita misteri mengenai keris, ada kata ia perlu dimandikan, ‘dijamu’ dan ada cerita keris yang boleh berdiri sendiri atau menari-nari.

“Saya tidak pasti kebenarannya, mungkin benar berlaku kepada orang tertentu.

“Saya menjaga keris seperti barang lain, jika nampak berkarat atau berhabuk, saya mencuci, tapi tiada upacara tertentu,” katanya.

Amin percaya keris lama boleh mencetuskan mistik kerana orang zaman dulu gemar menuntut pelbagai ilmu batin dan setiap keris yang dimiliki mempunyai ‘pendamping’.

“Sepanjang berdamping dengan keris, hanya sekali dia mengalami peristiwa yang dianggap pelik.

“Seorang sahabat menyerahkan kepada saya sebilah keris, katanya ia milik seorang bomoh yang meninggal dunia. Semasa diserahkan, keris itu tak cantik, berdebu dan berkarat.

“Semasa saya buka kain hitam yang membalutinya, ia diikat dengan tali belati dan terdapat gumpalan rambut. Kerisnya berkarat, tidak cantik. Saya bakar kain hitam, tali belati dan gumpalan rambut itu, sementara kerisnya saya rendam untuk hilangkan karatnya.

“Selepas melakukan semua itu, badan saya seram sejuk, tapi saya tak ambil kisah. Petang itu saya keluar dan bila balik ke rumah pada malamnya, saya terkejut terserempak melihat seekor ular berwarna hitam di belakang rumah.

“Saya menelefon kawan dan menceritakan kejadian itu dan dia menasihati saya membuang keris itu jika tidak sanggup menjaganya,” katanya.

Selepas mendengar nasihat kawannya itu, Amin membuang keris itu sungai pada tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 12:28 PM