DUA lelaki yang berjaya diberkas polis. Gambar kecil, senjata parang yang digunakan suspek ketika menyamun. FOTO ihsan PDRM
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur : Dua lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Geng Putra' dan aktif dalam kegiatan menyamun kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang ditahan polis di Ampang Jaya, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kumpulan yang dianggotai lima lelaki berusia diantara 23 hingga 35 tahun itu baru saja selesai menyamun dua buah kedai serbaneka di Jalan Lembah Maju dan Ampang Point, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di dua premis yang disamun itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai anggota geng berkenaan kira-kira 7 pagi.

"Hasil soal siasat mereka mendapati telah melakukan lebih 12 kes samun kedai serbaneka di sekitar Ampang, Cheras, Setapak dan Sri Kembangan.

"Antara barang yang dirampas adalah sebilah parang dan dua buah motosikal," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka yang turut positif dadah jenis ketamin akan direman sehingga 5 Ogos depan dan polis masih memburu baki tiga lagi suspek yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 2:54 PM