JUE Aziz ketika mendapat restu dari bapa dalam gambar kenangan pada majlis persandingannya. FOTO Aziah Azmee/Arkib NSTP
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: “Saya terkilan sebab belum mengandung lagi dan bapa tidak sempat tengok cucunya,” luah pelakon Jue Aziz mengesahkan berita kematian bapanya Abdul Aziz Maidin pada petang tadi akibat serangan jantung.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 32, berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap Allahyarham yang pelik terhadap mereka adik-beradik pada Hari Raya baru-baru ini adalah petanda bapanya akan pergi untuk selama-lamanya.

“Abah berkelakuan agak pelik kebelakangan ini sebab dia macam merajuk dengan kami semua. Rupa-rupanya abah hendak pergi (meninggal) patutlah dia jadi sensitif dan merajuk dengan anak-anak.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada malam tadi (semalam) di hospital. Dia buka-buka mata saja dia peluk saya. Saya dan adik-beradik sempat minta maaf, namun saya reda sebab doa saya agar abah pergi pada hari dan waktu yang baik ditunaikan Allah,” katanya.

Bapa kepada pelakon filem Hantu Bonceng itu meninggal dunia pada petang semalam di sebuah hospital di Seremban akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 67 tahun.

Menurut Jue, kematian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana bapanya hanya menghidap kencing manis dan darah tinggi sebelum ini.

Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan di kawasan Nilai pada malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 8:31 PM