Operasi di Jeti Berjaya Waterfront Stulang Laut ke Harbour Bay di Batu Ampar, Batam adalah laluan baru yang diperkenalkan. FOTO Safizan Yakin
Operasi di Jeti Berjaya Waterfront Stulang Laut ke Harbour Bay di Batu Ampar, Batam adalah laluan baru yang diperkenalkan. FOTO Safizan Yakin
Oleh Safizan Yakin


Batam (Indonesia): Sungai Rezeki Sdn Bhd (Sungai Rezeki) syarikat feri berpangkalan di Johor Bahru dengan kerjasama Hotel Pacific Palace di sini menawarkan dua pakej istimewa kepada mereka yang mahu melancong di Batam.

Malah, operasi di Jeti Berjaya Waterfront Stulang Laut ke Harbour Bay di Batu Ampar, Batam adalah laluan baru yang diperkenalkan merangkumi kelebihan seperti memendekkan jarak perjalanan serta memberikan keselesaan berbanding jeti Batam Centre.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Kamal Ho berkata, pakej istimewa itu merangkumi tiket feri pergi dan balik dari Berjaya Waterfront Stulang Laut ke Harbour Bay Batu Ampar serta penginapan di bilik cabin Hotel Pacific Palace.

"Tawaran ini khusus untuk mereka yang ingin melancong dengan bajet minimum dan kita berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada Hotel Pacific Palace .

"Harga yang dikenakan ini jauh lebih rendah berbanding hari biasa dan kerana itu kita berharap ia mendapat sambutan memberangsangkan," katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan hotel berkenaan juga diharap membantu syarikat berkenaan mempromosikan Johor Bahru khasnya kepada masyarakat di Batam.

"Inilah keunikan perkhidmatan disediakan, selain harga ditawarkan bermula RM255 bagi tiket dan bilik, pada hujung minggu serta cuti umum pula RM 288 seorang.

"Di Harbour Bay, penumpang akan lebih selesa kerana tidak sesak dan lebih penting ia amat dekat dengan bandar serta kemudahan penginapan yang ada berhampiran," katanya.

Menurut Jamaludin, untuk tempahan dan maklumat lanjut , orang ramai boleh menghantarkan e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 11:21 PM