PELAKON Nota, Hans Issac dan Maya Karin bersama penerbit, Bea Tanaka (dua dari kanan) dan pengarahnya, Yasu (kanan).
Syanty Octavia Amry


Agak klise apabila kisah pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga difilemkan.

Ini kerana jalan cerita sedemikian sering ditayangkan di televisyen, malah sesetengah penonton sudah mengagak pengakhiran jalan ceritanya.

Namun begitu, filem Nota arahan pengarah dari Jepun Yasu Tanaka boleh dikatakan agak unik dan menarik biarpun jalan ceritanya sedikit perlahan.

Malah jalan cerita filem ini adalah inspirasi daripada kisah hidup Yasu sendiri.

Mungkin juga kerana pengarah mahu penonton lebih menghayati cerita menyebabkan dialog daripada pelakon sedikit kurang dan pelakon lebih banyak bermain dengan ekspresi wajah dan gerak badan.

Mempunyai alasannya sendiri dalam menghasilkan karya pertamanya itu, Yasu berkata, seboleh-bolehnyanya dia mahu menghasilkan sebuah cerita yang dekat di hati penonton negara ini.

“Apabila saya terbabit dalam penulisan skrip di FINAS beberapa tahun lalu, saya mengkaji banyak perkara sebelum menghasilkan filem ini.

“Saya bertuah kerana turut bersama saya waktu itu ialah Hans Isaac dan Datin Sofia Jane serta beberapa pelakon lain yang banyak membantu memberi idea.

“Dapat pula pelakon hebat dan berpengalaman seperti Hans, Maya Karin dan Allahyarham Ramli Hassan membuatkan cerita tampak lebih menarik dengan karakter masing-masing yang dikembangkan,” katanya.

Nota adalah filem Melayu pertama arahan dan terbitan syarikat Yasu iaitu 42nd Pictures Sdn Bhd.

Ia turut dibintangi pelakon Jepun iaitu Rin Izumi dan bakal menjengah pawagam bermula 13 Ogos depan.

Malah, filem ini juga didedikasikan buat Allahyarham Ramli Hassan yang meninggal dunia akibat kanser pada Mei lalu.

“Ramli memainkan peranan sangat besar terhadap persiapan filem ini sejak awal lagi.

“Malah dia turut memberi idea untuk mengetengahkan keindahan Taman Negara Bako di Sarawak dalam filem.

“Keindahan Taman Negara Bako dan penggunaan dialek negeri itu adalah ideanya. Saya sedih kerana dia tidak dapat berada bersama kami pada malam tayangan filem ini,” katanya.

Pun begitu, Yasu gembira kerana impian pelakon itu untuk menonton filem Nota tercapai ketika ia ditayangkan di sebuah festival filem yang diadakan di Pulau Pinang Ogos tahun lalu.

Sinopsis:

Mengangkat genre misteri dan jenayah sebagai plot utama, filem ini mengisahkan sepasang suami isteri, Kamal dan Erin yang sudah berkahwin 10 tahun menghadapi masalah berikutan Erin tidak boleh melahirkan zuriat.

Akibat daripada itu, mereka jarang berkomunikasi menyebabkan hubungan kian hambar.

Bagi menyelesaikan masalah dihadapi, Erin me­ngajak Kamal bercuti ke Taman Negara Bako, tempat menjadi saksi Kamal melamar Erin 10 tahun lalu.

Ketika dalam perjalanan, Erin tanpa sengaja terbaca sebuah nota yang ditulis Kamal dan membayangkan semuanya akan berakhir di tebing.

Dalam keadaan rasa bersalah, Erin turut mendapat tahu yang Kamal mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain malah sedang mengandungkan anak suaminya.

Dalam keadaan tertekan dan sedih, Erin merancang membunuh Kamal tapi tergendala dengan kehadiran Jemat, pembawa bot yang membawa mereka ke Taman Negara Bako.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:01 AM