Asia

Bunuh isteri lepas 'selfie'

Oleh Agensi

Ankara: Seorang suami sanggup berswafoto sebelum menolak isterinya ke tebing bukit, sehingga maut.

Lebih menyedihkan, perbuatan itu dilakukan lelaki terbabit ketika isterinya sarat mengandung tujuh bulan.

The Sun melaporkan, kejadian itu berlaku ketika pasangan berkenaan bercuti di Butterfly Valley di tenggara Turki minggu lalu.

Perbuatan itu dilakukan Hakan Aysal, 40, kerana mahu menuntut insuran nyawa Semra Aysal, 32.

Semra disahkan meninggal dunia bersama bayinya.

Pendakwa raya berkata, pasangan itu sempat berswafoto di tebing bukit.

Menurutnya, kemalangan itu sebenarnya adalah rancangan jahat Hakan bagi menuntut wang insuran isterinya.

"Dia melakukan pembunuhan dengan sengaja dan Hakan dikatakan sudah merancang untuk membunuh isterinya bagi mendapatkan wang insurans nyawa sebanyak 400,000 lira Turki (kira-kira RM231,000)," katanya.

Pihak pendakwa juga memaklumkan, pasangan itu duduk di tebing bukit selama tiga jam kerana Hakan mahu memastikan bahawa tidak ada orang di sekitarnya sebelum menolak isterinya jatuh ke tebing bukit.

Pihak insuran menolak permohonan tuntutan insuran dibuat Hakan selepas curiga dengan punca kematian Semra.

Ketika soal jawab di mahkamah, Hakan menafikan bahawa dia merancang untuk membunuh isterinya.

"Saya bangun untuk mengambil telefon yang diminta isteri dan kemudian mendengar dia menjerit ketika saya berjalan beberapa langkah untuk mengambil telefon dari begnya," katanya.

Mahkamah Tinggi Jenayah Fethiye memerintahkan Hakan akan ditahan kerana merancang pembunuhan isterinya.

Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 11:02am
d