PELBAGAI punca kereta tidak jimat minyak.
PELBAGAI punca kereta tidak jimat minyak.
Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Kereta saya mengalami masalah ketika menekan pedal minyak kerana enjinnya mengeluarkan bunyi enjin begitu kuat.

Saya juga mendapati penggunaan bahan api lebih banyak bagi bagi pemanduan bandar dan tidak melebihi 2,500 rpm dalam gear automatik.

Apakah masalah kereta saya? Ada yang mengatakan kenderaan saya perlu melakukan pembersihan sistem suntikan bahan api.

INTAN,

Kuantan, Pahang.

Pelbagai punca boleh menyebabkan masalah itu. Ia boleh berlaku akibat ekzos bocor sekali gus menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan bunyi enjin yang kuat.

Begitu juga penapis udara lama dan tersumbat turut menghasilkan bunyi sedutan kuat serta penggunaan bahan api tinggi.

Jika sudah melakukan pemeriksaan sistem ekzos dan servis bagi penapis udara dan palam pencucuh, cucian penyuntik bahan api bukan sesuatu yang lazimnya mampu dilakukan oleh mekanik biasa.

Penyuntik bahan api bagi sebuah kereta yang berusia mung­kin tersumbat dengan deposit varnis dan kotoran dalam bahan api.

Apabila ia berlaku, penyuntik bahan api menitiskan petrol ke dalam kebuk pembakaran dan bukan semburan kabus campuran udara/petrol yang sempurna.

Banyak enjin gagal beroperasi dengan cekap dan rosak akibat kepala silinder serta omboh sarat pembentukan karbon akibat pembakaran tidak sempurna. Aditif bahan api turut mampu mengekalkan sistem bahan api supaya sentiasa bersih.

Sistem bahan api sebenarnya perlu dibersihkan bila perlu. Ketika proses pembersihan sistem suntikan bahan api, pembersih karbon dan varnis disuntik terus ke dalam sistem penyampaian bahan api sementara enjin dihidupkan.

Mesin khas dan alat satu set tertentu serta pencuci karbon serta pembersih varnis gred perindustrian digunakan.

Perkhidmatan itu hanya didapati di bengkel yang menyediakan kemudahan pembaikan kualiti tinggi atau pusat servis pengedar kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:01 AM