Ramai teman pelik dengan situasi yang berlaku antara Erma Fatima dengan suami, Bade Azmi. Mereka tanya pada Cik Pang, serius ke Erma mahu bercerai dengan Bade?

Cik Pang hairan juga apabila mereka ajukan soalan begitu. Jawab Cik Pang pada mereka, tentulah serius. Erma sudah pun memfailkan perceraian di mahkamah dan kini dalam proses perbicaraan.

Tanya mereka, kalau serius bercerai mengapa pula baru-baru ini di laman sosial Erma, dia memuat naik gambar percutian sempena sambutan Aidilfitri bersama keluarga dan Bade juga ikut bersama.

Kata mereka, kegembiraan jelas terpancar di wajah Erma mahupun Bade di samping anak dan ahli keluarga lain.

Mendengar cerita itu, susah juga untuk Cik Pang menjawab dan menjelaskan mengenai perkara ini. Ingin Cik Pang bertanya kembali kepada mereka yang bertanya akan perihal ini, kalau bercerai mesti gaduh-gaduh dan masam muka ya?

Atau lebih teruk selesai kes dan jatuh talak, pasangan diharuskan tidak bertegur sapa dan memutuskan silaturahim. Habis macam mana pula hubungan anak dengan ibu bapa yang sudah bercerai?

Beginilah. Ini penjelasan Cik Pang daripada apa yang didengar daripada teman rapat Erma sendiri mengenai isu perceriannya dengan Bade.

Erma yang kini tampil dengan karya terbaru, Mok Cun, sudah cuba untuk hidup bermadu sepanjang tempoh setahun.

Bagaimanapun, ada perkara yang dirasakan lebih baik sekiranya dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan Bade, atas sebab yang tidak perlu untuk dia kongsikan dengan umum.

Apa juga alasan diberikan Erma, Cik Pang percaya semua orang akan faham dan perlu menghormati keputusan dibuatnya. Kalau benar jodoh mereka kuat, mungkin permohonan perceraian itu akan ditarik balik.

Apapun, nasihat Cik Pang kepada mereka yang bertanya agar mendoakan Erma dan Bade bahagia sama ada mereka bersama ataupun kelak memilih jalan hidup masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:02 AM