TUNGKU khas untuk ibu selepas bersalin bertungku sendiri di rumah.
PRODUK herba untuk bertangas dan mandian selepas bersalin kaya dengan khasiat untuk wanita.
BENGKUNG baik untuk wanita selepas bersalin mengembalikan bentuk badan.
BERTANGAS dapat mengembalikan kesihatan wanita semua peringkat umur.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Proses atau kaedah bertangas wujud semenjak zaman nenek moyang kita dan ia amat popular di negara nusantara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia, begitu juga di India.

Selain memperbaiki bahagian luaran, kaedah bertangas ini mampu memberi impak hingga ke dalam badan sekiranya dilakukan dengan kerap.

Keadah bertangas amat mudah sebenarnya, tetapi ia kian dilupakan dengan wujudnya produk baru apatah lagi wanita moden zaman ini yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman yang membawa kesejahteraan rumah tangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Malah, jika ditanya pada sebahagian wanita muda ketika ini, mungkin tidak ramai yang tahu atau menyedari kelebihan amalan yang diwarisi nenek moyang sejak berabad lalu ini.

Jika kena caranya, bagi yang sudah berumahtangga dan melahirkan anak mampu mengembalikan organ intim seperti ‘anak dara’.

Tangas juga amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata.

Malah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan, me­ngecutkan urat badan dan membuang angin dalam badan kerana bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar dari badan.

Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan, kemutan faraj dan rahim.

Menurut Pengarah Urusan Nawal Herbal Beauty Azuan Yusoff, ramai menganggap bertangas hanya dilakukan ketika berpantang atau untuk mereka yang berkahwin saja, namun sebenarnya amalan ini sesuai untuk semua wanita sama ada yang belum atau sudah berkahwin.

Katanya, herba yang terkandung dalam set bertangas mampu merawat, memperbaiki urat dan juga bahagian sulit wanita yang tercedera semasa proses melahirkan anak.

“Kaedah tradisional ini juga mampu menyerap hingga ke dalam badan wanita sekiranya diamalkan secara berterusan,” katanya.

Kaedah bertangas sesuai pada semua peringkat umur dari remaja hingga wanita yang baru menopaus untuk membuang toksin dalam badan, membersih dan menghilangkan keputihan dan melancarkan aliran darah.

Selain itu, amalan ini dapat mencegah penyakit wanita, memperbaiki atau mengetatkan serta mengecutkan urat yang kembang akibat proses bersalin. Bertangas juga amat sesuai memperbaiki elemen dalaman wanita selepas bersalin.

Jenama Nawal Herbal Beauty iaitu suatu rangkaian produk kecantikan, produk herba dan set bersalin mula diperkenalkan pada penghujung 2012 selepas menyedari timbulnya kesukaran untuk ibu mendapatkan produk berpantang yang terbukti berkesan dan sangat ekonomi dari segi wang ringgit.

“Produk Set Bersalin kami semakin dipercayai kerana kualiti dan fungsinya yang baik untuk kesihatan dan kecantikan ibu selepas bersalin.

“Kami juga menyedari, ramai pengguna menghadapi masalah intim bersama suami, badan sering jatuh sakit, tenaga dan prestasi stamina semakin menurun, wajah makin hilang seri dan selalu hilang semangat melihatkan penampilan diri yang makin jauh berubah selepas bersalin.

“Dari situ, timbul idea untuk kami mengeluarkan set bersalin yang bukan saja berkesan dan berkualiti, malah praktikal digunakan yang mana ibu akan melalui cara berpantang seperti di kampung dan penuh tradisional,” katanya.

Di samping itu, menurutnya, semua bahan yang digunakan semula jadi dan bebas daripada bahan kimia kerana mahu mengelakkan kesan sampingan terhadap pelanggan.

Bertangas biasanya dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyelaputi seluruh badan.

Selepas dibiarkan beberapa minit, wanita yang menjalani rawatan bertangas duduk di atas kerusi khas dengan wap air rebusan campuran herba mengenai bahagian sulit mereka.

Proses rawatan ini biasanya dilakukan dalam masa 20 hingga 30 minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sebulan sekali.

Selain daripada set bertangas ini, Nawal Herbal Beauty (www.nawalherbalbeauty.com dan Instagram nawalherbalbeautyofficial) juga menyediakan set selepas bersalin lengkap yang pertama di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:01 AM