MUHAMMAD Fakhri Attamimi menerima Anugerah Pengarah atas kecemerlangannya daripada Shabudin.
MUHAMMAD Fakhri Attamimi menerima Anugerah Pengarah atas kecemerlangannya daripada Shabudin.
WAJAH gembira pelajar yang berjaya menamatkan pengajian
WAJAH gembira pelajar yang berjaya menamatkan pengajian
ANTARA pelajar terbaik yang bangga dengan kejayaan masing-masing.
ANTARA pelajar terbaik yang bangga dengan kejayaan masing-masing.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Impian menggenggam segulung diploma menjadi kenyataan kepada 545 graduan Politeknik Muadzam Shah (PMS), Rompin, Pahang yang diraikan pada Majlis Konvokesyen PMS ke-9, baru-baru ini.

Mereka daripada lima jabatan iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan, Shabudin Man yang turut menyampaikan diploma kepada graduan.

Hadir sama Pengarah PMS, Wan Muhammad Afifi Wan Abdullah.

Penerima Anugerah Pengarah, Mohamad Iqbal Afham Abdul Razak Ramesh, 22, berkata sejarah hitam gagal mencatat keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi pembakar semangat kepadanya untuk berusaha lebih gigih ketika berada di PMS.

“Alhamdulillah, ia berbaloi apabila saya meraih pengiktirafan Anugerah Pengarah yang sebelum ini tidak membayangkan untuk layak menerimanya.

“Sejarah hitam lalu banyak mengajar saya erti kekecewaan saya berusaha keras tanpa menoleh ke belakang lagi,” katanya yang kini bertugas di sektor perkilangan.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) itu yang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM500.

Menurutnya, sejak mula menjejakkan kaki ke PMS dia bertekad memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma untuk melakar kejayaan lebih cemerlang.

“Kesungguhan saya berhasil apabila mencatat keputusan membanggakan pada setiap semester. Saya juga tidak melepaskan peluang aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Sepanjang menuntut di PMS, saya terbabit menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat PMS dalam membantu masyarakat Orang Asli,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk Pembuatan Automotif) Muhammad Fakhri Attamimi Rahim, 22, yang turut menerima Anugerah Pengarah berkata, dia tidak pernah menduga menerima anugerah tertinggi itu.

“Selepas berusaha gigih sepanjang berada di PMS, akhirnya kejayaan diimpikan berada dalam genggaman. Ia sekali gus memenuhi cita-cita peribadi dan mengembirakan keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada saya.

“Sokongan pensyarah dan rakan banyak membantu mencatat keputusan terbaik pada setiap peperiksaan semester manakala minat mendalam bidang kokurikulum turut membuka peluang untuk terbabit dengan program kemasyarakatan,” katanya yang berasal dari Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:01 AM