KINA Grannis antara bintang sensasi YouTube berjaya.
Oleh Georgie Joseph

Bermula sebagai gitaris, penyanyi berusia 29 tahun ini mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian. Kehadiran Kina Grannis atau nama sebenarnya, Kina Kasuya Grannis kian mendapat perhatian pencinta muzik termasuk Malaysia.

Selesa mengetengahkan muzik akustik, kemerduan vokal Kina mendapat pujian ramai. Itulah yang membezakan Kina dengan artis sensasi YouTube lain. Nyanyian bintang yang memulakan kariernya pada 2005 ini tidak pernah menghampakan.

Setakat ini, Kina sudah menghasilkan lima album iaitu Sincerely, Me pada 2005, One More in the Attic (2006), In Memory of the Singing Bridge (2006), Stairwells (2010) dan Elements (2014).

Dalam arus perdana namanya tidaklah segah bintang pop lain, namun pencapaiannya bukan calang-calang. Bahkan, Kina pernah diundang ke beberapa program bual bicara popular termasuk Jimmy Kimmel dan Ellen Show.

Demi masa depan yang lebih cerah, Kina berani mengambil keputusan meninggalkan label Interscope Records pada 2009.

Penyanyi ini bukan hanya menyanyikan lagu sendiri bahkan kerap memberi nafas baru lagu sensasi terkini.

Lebih menarik, lagunya berjaya menduduki carta terbaik malah album Stairwells turut ada dalam senarai carta Billboard 200.

Sempena album terbaru, Elements, Kina akan mengadakan siri jelajah di Amerika Syarika dan Asia Tenggara.

Kina akan mejayakan persembahan di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 25 September ini. Menerusi konsert itu Kina turut mengundang beberapa sensasi YouTube lain iaitu Imaginary Future dan Gentle Bones.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 12:10 PM