Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menolak ‘bulat-bulat’ cadangan untuk Malaysia menganjurkan Sukan Olimpik 2028, namun menekankan idea itu memerlukan kajian mendalam.

Katanya, kajian secara terperinci itu perlu dilakukan kerana penganjuran temasya sukan terbesar dunia berkenaan memerlukan komitmen kewangan tinggi.

“Walaupun prosedurnya menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun akhirnya yang akan menanggung kos adalah kerajaan.

“Jadi kajian kewangan perlu dilakukan terlebih dulu sebelum sebarang keputusan diambil. Malah saya cadangkan membuat kajian untuk membida menganjurkan Sukan Asia terlebih dulu sebelum memikirkan Olimpik kerana ia bukan saja membabitkan jutaan ringgit namun berbilion sedangkan pulangannya belum tentu.

“Ada tuan rumah mendapat pulangan baik namun ada sebaliknya. Penganjuran Olimpik 1976 Montreal sehingga kini masih dibelenggu hutang yang besar,” katanya selepas pelancaran Ski Malaysia, semalam.

Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar baru-baru ini mengemukakan idea berkenaan dengan Malaysia menganjurkannya bersama Singapura.

Pembidaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2028 akan bermula pada 2019 dengan pemenangnya akan diumumkan pada 2021 semasa Sesi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ke-134.

“Ia bukan soal untuk tidak mahu menjadi tuan rumah namun persoalannya adalah kos dan kesediaan. Sekalipun kita mempunyai bajet, adakah ia akan dibelanjakan untuk menjadi tuan rumah atau pembangunan sukan.

“Mungkin kita bukan di peringkat untuk memikirkan Sukan Olimpik namun saya bukan menolaknya, cuma mengatakan cadangan itu memerlukan kajian mendalam,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, tiga acara sukan musim sejuk iaitu hoki ais, speed skating dan figure skating sedang dipertimbangkan untuk dianjurkan pada Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:51 AM