Jakarta: “Wallahualam, terserah kepada Tuhan,” kata pemangku Gabenor Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama, ketika ditanya mengenai masa depannya di pusat pemerintahan itu selepas jawatan berkenaan dikosongkan Presiden Jokowi.

Basuki yang lebih mesra dikenali sebagai Ahok berkata, pelantikannya sebagai Gabenor Jakarta dijadual pada 18 November ini, namun belum ada pengesahan rasmi dibuat mengenainya.

Justeru, katanya, dia menyerahkan nasib kepada takdir.

“Jika Tuhan mahu saya kekal, maka saya akan kekal, tetapi jika Dia mahu saya tersingkir, mata akan tersingkirlah saya. Kun fayakun,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahok bekas anggota parti Gerindra yang memenangi jawatan itu pada 2012 selepas berganding dengan Jokowi.

Kemenangan Jokowi dalam pemilihan presiden Julai lalu menyebabkan jawatan Gabenor Jakarta kosong.

Jika sah dilantik sebagai gabenor, Ahok - seorang penganut Protestan - akan menjadi tokoh Cina pertama diangkat ke jawatan itu.

Surat mengenai majlis pelantikan itu sudah dihantar kepada Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Jakarta untuk mendapat kelulusan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:02 AM