KEADAAN motosikal selepas kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Dua beranak masing-masing berusia 40 dan 12 tahun maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Muar-Parit Sulong, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira 7.45 malam itu mengakibatkan mangsa, Rosmawati Ismail, 40, dan anak lelakinya, Muhammad Taufik Abas, 12, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang dalam perjalanan menghantar anaknya ke tuisyen di Parit Sulong.

"Namun sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi Rosmawati secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan sebelum dirempuh kereta yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dari lokasi kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 2:16 AM