VAN Huizen (kiri) serah kepada MHC untuk tentukan pelantikan ketua jurulatih skuad senior.
VAN Huizen (kiri) serah kepada MHC untuk tentukan pelantikan ketua jurulatih skuad senior.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Walaupun hampir pasti menjadi pilihan utama untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Stephen Van Huizen lebih gemar bersikap mengunci mulut daripada menjawab spekulasi berkenaan.

Jelas Van Huizen, beliau enggan menjawab perkara itu ketika ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang berlangsung 15 Ogos ini untuk membuat keputusan.

“Spekulasi tetap spekulasi. Saya tidak mahu membuat sebarang komen ketika ini.

“Biarlah mereka yang arif membuat keputusan kerana mereka lebih tahu segala-galanya. Buat masa ini, saya tak mahu komen apa-apa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya adakah beliau bersedia menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad senior negara sekiranya ditawarkan, Van Huizen sekali lagi menolak untuk memberikan sebarang komen.

Sementara itu, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih skuad hoki wanita menggantikan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim turut senada dengan Van Huizen.

Bagaimanapun, Dhaarma mengaku bersedia untuk kembali berkhidmat membimbing skuad negara sekiranya ditawarkan jawatan berkenaan.

“Tidak banyak yang boleh saya perkatakan. Tapi saya secara terbuka memang bersedia untuk kembali berkhidmat dengan MHC tidak kira apa juga jawatan yang diberikan kepada saya.

“Selebihnya, anda kena tunggu 15 Ogos nanti,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MHC, K Logan Raj menegaskan masih tiada sebarang keputusan muktamad terutama dari Jawatankuasa Kejurulatihan mengenai perlantikan jurulatih.

Namun difahamkan, Van Huizen serta Dhaarma hampir pasti dilantik selaku ketua jurulatih lelaki dan wanita.

Arul Selvaraj pula kekal menggalas tugas ketua jurulatih skuad remaja manakala Lailin Abu Hassan sebagai ketua jurulatih skuad remaja wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:06 AM