FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Polis Selangor menahan 29 warga China di sebuah banglo di Seri Kembangan kerana terbabit dalam sindiket penipuan Macau Scam, Isnin lalu.

Serbuan kira-kira 11.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor selepas melakukan siasatan hasil maklumat awam.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, semua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun dipercayai aktif melakukan penipuan sejak setahun yang lalu.

Beliau berkata, sindiket akan menggunakan nombor Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau bank tempatan dan mendakwa akaun mangsa akan disekat sebelum meminta semua wang dipindahkan ke dalam akaun bank pihak ketiga.

"Suspek mensasarkan rakyat tempatan, warga China dan Taiwan sebagai mangsa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Katanya, semua suspek kini direman selama dua minggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 12:07 PM