X
GAMBAR Lan turun dari keretanya membantu mangsa kemalangan yang viral di Internet baru-baru ini.
GAMBAR Lan turun dari keretanya membantu mangsa kemalangan yang viral di Internet baru-baru ini.
Oleh Wahi Aziz


Seboleh-bolehnya pelawak Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet enggan mengulas tindakannya memberhentikan kereta di tengah jalan raya di Alor Setar, Kedah bagi membantu seorang mangsa kemalangan, Sabtu lalu.

Namun, sudah namanya insan popular, perbuatan murni Lan, 49, dirakam seorang pengguna Facebook di lokasi kejadian dan tersebar di merata blog dan media sosial.

Meskipun dipujuk berkali-kali, anggota kumpulan Senario ini berat membuka mulut kerana apa yang dilakukan itu ikhlas atas dasar kemanusiaan.

“Bukan tak mahu cakap, tetapi saya buat ikhlas kerana Allah. Ketika kejadian, saya bertindak spontan tanpa menyangka ada yang akan mengambil gambar.

“Saya takut komen benda begini, bimbang lain pula jadinya (menimbulkan riyak). Segan jadinya apabila gambar saya tersebar,” katanya.

Mengimbas kejadian pada petang Sabtu lalu, Lan berkata, dia sedang memandu bersama ibunya menghala ke rumah mereka.

Dalam perjalanan, dia nampak ada kesesakan berlaku di seberang jalan berikutan kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal lelaki berbangsa India.

Tanpa berlengah, Lan memberhentikan kereta secara mengejut di tengah jalan dan melintas bagi membantu lelaki itu.

“Saya perhatikan jalan raya makin sesak, tapi tiada yang membantu mangsa. Jadi, saya memberhentikan kereta dan melintas jalan untuk membantu penunggang motosikal itu.

“Saya terpaksa tinggalkan ibu dalam kereta sendirian. Risau juga kalau orang lain langgar kereta saya, tetapi saya tidak sampai hati membiarkan lelaki itu,” katanya.

Sambungnya, dia kembali ke kereta selepas memastikan keadaan mangsa kemalangan terbabit stabil dan dihantar ke hospital oleh seorang anggota polis.

“Saya terkejut apabila ada yang merakam gambar dan menyebarkannya di media sosial.

“Hendak buat macam mana perkara sudah jadi, cuma saya segan apabila ia jadi bualan,” katanya yang sibuk dengan pelbagai undangan persembahan pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 1:00 PM
Digital NSTP Subscribe