RAZMAN bersama isteri dan anaknya selesa menetap di Pahang.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: “Saya terlalu sayangkan skuad Pahang dan peminat setia Tok Gajah, tidak mungkin saya sanggup tinggalkan pasukan selepas tiga musim berjuang memburu kejuaraan diimpikan.

“Perjuangan bersama pasukan Tok Gajah seolah-olah satu keluarga yang begitu akrab dan setia memikul setiap tugas diamanahkan demi menjaga maruah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP),” kata kapten Pahang Razman Roslan.

Menurutnya, keputusan kekal bersama Tok Gajah turut dipengaruhi rasa hormat terhadap Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang mengharapkan dia dapat terus kekal mengemudi skuad itu musim depan.

Katanya, kesanggupan PBNP mengekalkan semua pemain menambahkan lagi keyakinan untuk sekali lagi berjuang memburu kejayaan lebih bermakna musim depan.

“Kepuasan saya bersama skuad Tok Gajah diperkuatkan lagi dengan keselesaan isteri, Ozy Azeya Abdul Aziz, 29, dan anak, Muhammad Aryan Rizqy, 1, dan Muhammad Arraz Rizqy, 4, menetap di sini yang dianggap seperti kampung sendiri.

“Tinggal di sini tidak ada kesesakan jalan raya seperti di Kuala Lumpur, makanan juga sedap. Keselesaan itu memberikan peluang sepenuhnya kepada saya memberi tumpuan kepada pasukan,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Razman berkata, perjanjian kontrak baru bersama PBNP musim depan akan dilakukan hujung bulan ini selepas kontrak lama berakhir.

“Saya mohon maaf kepada Persatuan Bolasepak Negeri Selangor (FAS) kerana tidak dapat bersama mereka musim depan, saya yakin pengurusan FAS memahami keadaan seterusnya merestui keputusan saya.

“Satu hari nanti saya pasti pulang ke pangkuan Selangor. Tumpuan saya kini hanya untuk pasukan Pahang yang begitu ghairah memburu kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) terutama selepas berjaya menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:05 AM