AMER Syafiq bersama barisan pelakon utama (dari kiri) Jihan, Dafi dan Remy.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas mencetuskan fenomena pada 2003, pementasan Maduku Kalut Returns kembali mengubat kerinduan peminat teater tanah air.

Naskhah komedi terbitan Mask Team sentuhan pe­ngarah muda berbakat besar, Azhar Zainal ini mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula esok hingga Ahad ini.

Pementasan kali kelima ini mempertaruhkan barisan pelakon popular seperti Remy Ishak, Jihan Muse, Nad Zainal, Sherry Alhadad, Dafi dan Atoi Tohet.

Selaku pengarah, Azhar mengakui dia berdepan cabaran besar untuk mementaskan naskhah kali ini kerana membabitkan skala lebih besar di IB.

“Saya tetap berasa gementar walaupun ia pementasan semula kerana kali ini ia lebih mencabar serta membabitkan ruang pentas yang besar. Pada masa sama, tang­gapan orang pada teater ini juga tinggi berdasarkan kejayaan pementasan sebelum ini yang pernah mendapat enam pencalonan di Anugerah Boh Cameronian edisi ke-11.

“Namun, saya lebih suka melihat dari sudut positif dan bersedia untuk menyahut cabaran penerbit untuk mengarahkannya kerana maklum balas memberangsangkan daripada penonton sebelum ini,” katanya.

Azhar berkata, apabila ditawar mengarah teater ini, dia meminta penerbit supaya memanggil barisan pelakon sama.

“Bagi saya lebih mudah untuk bekerjasama dengan barisan pelakon dan kru produksi yang pernah terbabit dalam pementasan sebelum ini kerana mereka sudah memahami jalan cerita dan skripnya,” katanya.

Mengulas lanjut pemilihan barisan pelakon pula, kata Azhar, pihaknya yakin penampilan Remy memegang watak utama sebagai Selamat akan memberi kelainan pada pementasan semula itu.

“Pada mulanya, watak Selamat dijayakan pelakon Izzue Islam, tetapi terpaksa digantikan dengan Remy kerana Izzue tidak dapat memberi komitmen kali ini. Saya percaya ketiadaan Izzue tidak menjejaskan pementasan semula ini kerana kedua-duanya memiliki kelebihan dan peminat tersendiri,” katanya.

Selain Remy, pihaknya juga menampilkan pelakon teater berpengalaman Sherry Al-Hadad dan Dafi pada pementasan berkenaan.

“Saya pernah bekerja dengan Dafi dalam pementasan Teater Di Bawah Lindungan Kaabah, sebelum ini. Sebagai penghibur, Dafi juga sudah memahami pentas teater dan memudahkan kami bekerjasama dalam pementasan ini.

“Begitu juga barisan pelakon lain yang semuanya memahami kehendak skrip kerana sudah terbabit dalam pementasan sebelum ini sekali gus memudahkan saya mementaskan naskhah ini, sebaik mungkin,” katanya.

Azhar juga menaruh harapan tinggi supaya peminat teater terutama generasi muda tidak melepaskan peluang untuk menonton pementasan semula MKR itu.

“Walaupun ia pementasan kali kelima, apa yang kami janjikan ia pementasan yang lebih matang, gah untuk skala yang lebih besar. Naskhah ini tidak berat, tetapi saya ada cara tersendiri untuk divisualkan di pentas yang besar,” katanya.

MKR adalah adaptasi daripada karya Inggeris popular Run For Your Wife yang ditulis Roy Cooney dan dipentaskan kali pertama di West End, London, England pada 1983. Selain memaparkan nilai komersial yang tinggi, MKR bakal membawa penonton mengupas mengenai isu semasa secara lebih santai dan bersahaja. Biarpun genre komedi, MKR diharapkan mampu meninggalkan impak yang sangat mendalam kepada penonton.

Tiket untuk menonton persembahan ini boleh didapati secara online di www.airasiaredtix.com dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 untuk tiket platinum atau secara ‘walk in’ di kaunter Air Asia Red Tix di IB, setiap hari bermula jam 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 9:56 AM