BERSAMA keluarga dan ahli kelab peminat.
BERSAMA anak yatim pada majlis akikah dan ulang tahun anaknya.
IZREEN dan Riza bersama-sama menganjurkan sambutan hari jadi dan akikah anak mereka.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Perceraian antara pelakon Izreen Azminda, 30, dengan bekas suami, Muhammad Riza Baharuddin pada 9 Jun tahun lalu tidak menghalang mereka daripada terus berkawan.

Malah, kehadiran anak lelaki, Adrian Umar, 2, menjadi alasan kukuh kepada hubungan itu.

Bagaimanapun, pelakon drama Eksperimen Cinta itu menafikan mereka akan berbaik atau rujuk semula selepas bersama-sama mengadakan sambutan ulang tahun kedua anak mereka baru-baru ini.

“Ia tidak akan berlaku sama sekali. Selepas bercerai, dia menjadi kawan saya. Andai satu hari kami disatukan semula, itu adalah jodoh, tapi buat masa sekarang tidak. Saya selesa berkawan dengannya tambahan pula dia tetap bapa kepada anak kami.

“Saya bahagia dengan kehidupan solo. Bukan tidak mahu ada komitmen dengan mana-mana lelaki, tapi saya mahu fokus terhadap kerjaya, keluarga dan anak,” katanya.

Jelas Izreen lagi, perpisahan yang terjadi membuatkan dia semakin berhati-hati untuk mengenal dan memulakan perhubungan baru dengan mana-mana lelaki.

Ditanya ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihan hatinya selepas ini, Izreen berkata, dia mahu mencari lelaki mampu memberikan masa depan terbaik buat diri dan anaknya.

Menjawab maklum balas peminat yang mendoakan dia dan bekas suami rujuk semula, Izreen hanya mampu berterima kasih.

“Dari dulu lagi ramai berkata perkara sama, tapi biarlah saya dan dia saja tahu situasi sebenar. Saya anggap doa itu sebagai tanda sayang mereka terhadap saya. Terima kasih juga atas kata-kata positif diberikan,” katanya.

Sementara itu, bekas suami Izreen, Riza tidak melihat kehadiran anak mereka sebagai sebab utama untuk dia dan Izreen rujuk semula.

“Perkara sebegini saya serahkan kepada Allah SWT. Saya tak boleh cakap ya atau tidak kerana tak tahu apa akan terjadi kelak. Jadi saya hanya berserah kepada takdir.

“Kalau nak jadikan anak sebagai alasan ke arah itu, tak boleh juga. Antara kami perlu saling ikhlas menerima dan paling penting hati. Kalau saya seorang saja terima dan dia sebaliknya, tak boleh juga,” katanya.

Kata Riza, buat masa sekarang dia lebih selesa berkawan dengan bekas isterinya itu.

“Apabila kami berkawan, semua perkara dan situasi itu jadi lain. Masing-masing juga tahu had dan batas. Komunikasi antara kami lebih kepada soal anak. Tidak lebih dari itu malah sama sekali tidak membabitkan soal hati dan perasaan.

“Apa saja berkaitan anak, perlu bincang bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Riza memberitahu dia lebih mengutamakan kebajikan dan pendidikan anak sementara selebihnya diserahkan kepada Izreen.

Bercerita lanjut mengenai majlis akikah dan hari jadi anaknya, jelas Izreen kos dan perbelanjaan ditanggung bersama bekas suami.

“Ikutkan hari lahir anak saya jatuh pada bulan puasa lalu iaitu pada 13 Julai. Berkenaan majlis akikah pula, selepas bersalin dulu saya pernah buat sekali. Memandangkan saya dan suami nak buat majlis hari jadi anak, jadi kami buat lagi sekali.

“Sekalipun perbelanjaan ditanggung bersama, saya tak berkira keluarkan duit lebih kalau nak beli sesuatu pada minit akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 10:01 AM