ROTI kobra gabungan roti canai banjir bersama ayam dan telur goreng.
NASI ayam kampung turut menjadi menu pilihan pelanggan.
ASAM pedas antara lauk nasi campur yang disajikan.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Kali pertama melihat nama ‘roti kobra’ dalam menu di Restoran Sambal & Sauce di NU Sentral, penulis mula membayangkan hidangan yang penuh berperisa dan menyengat.

Apabila ia dihidangkan, ia kelihatan menarik dan boleh menjadi makanan popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

Roti kobra ialah hidangan roti canai banjir bersama ayam goreng istimewa selain sebiji telur mata ‘goyang’ yang menyelerakan.

Pemilik Restoran Sambal & Sauce, Datin Norintan Safinas berkata, hidangan itu dipercayai berasal dari Sabah.

“Di Sabah, mudah untuk makan roti kobra kerana ia memang tidak asing lagi, tapi di Semenanjung, ramai belum tahu.

“Saya pilih makanan itu kerana ia unik dan jarang dijumpai di sini selain mengenyangkan,” katanya.

Selepas menikmati hidangan itu, ulasan penulis ialah ia bukan saja lazat, tapi setiap komponen makanan dalam pinggan itu melengkapi satu sama lain.

Ayam goreng disalut dengan serbuk roti dan digoreng garing adalah padanan sesuai dengan roti canai kuah banjir yang disaluti telur goreng separuh masuk.

Menu itu dihasilkan chef Sambal & Sauce dan turut dihidangkan bersama sambal istimewa kerana diperbuat daripada bahan segar seperti cili merah, bawang dan asam.

Menurutnya, sambal itu turut digunakan dalam masakan lain seperti nasi goreng sambal & sauce.

Pelengkap roti kobra ialah minuman ‘double shot teh tarik’.

Ia bukan teh tarik biasa, tapi minuman yang pekat dan ‘kaw’ dan diseimbangkan dengan rasa susu serta ditarik bagi mengeluarkan buih yang berkrim.

Restoran Sambal & Sauce berkonsepkan makanan Melayu, namun terdapat juga hidangan dari beberapa bahagian Asia seperti India dan Timur Tengah.

“Sambal & Sauce berdekatan KL Sentral dan berada di ibu kota, jadi selain memenuhi kehendak pelanggan tempatan kami juga menghidangkan makanan yang boleh memenuhi kehendak pelancong luar,” kata Norintan lagi.

Antara hidangan lain di restoran ini ialah nasi beriani kambing, nasi ayam kampung dan chicken chop.

Restoran Sambal & Sauce juga menghidangkan nasi campur pada waktu tengah hari dengan lauk-pauk yang popular seperti asam pedas, kari dan masak lemak cili api.

Ia dibuka dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam dan layari www.facebook.com/sambalandsauce untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 10:24 AM