SHILA Lama tekad membantu golongan mualaf.
SHILA Lama tekad membantu golongan mualaf.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tekad dirinya mahu membantu golongan mualaf yang memerlukan bukan saja dari segi kewangan malah lebih utama membabitkan hala tuju kehidupan golongan berkenaan supaya tidak terumbang-ambing.

Memiliki personaliti menarik serta aktif dalam dunia hiburan tanah air suatu ketika dulu, Shila Lama Abdullah berharap langkahnya bergelar sukarelawan dalam membantu mualaf yang mengalami pelbagai masalah mampu memberi sinar kegembiraan dan kekuatan buat golongan itu.

Ternyata, wanita berjiwa murni ini tidak kenal erti penat apabila sanggup menghabiskan masa hariannya bagi membantu serta menguruskan hal ehwal mualaf yang dirujuk kepadanya.

Menurut Shila, pengalaman sendiri bergelar mualaf sejak lebih 20 tahun lalu banyak mengajarnya untuk lebih berdikari selain berusaha membantu individu yang memerlukan.

“Pada hakikatnya terdapat pelbagai jenis bantuan serta bimbingan yang disediakan khusus untuk mualaf terutama daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam di setiap negeri.

“Namun, apa yang membimbangkan apabila ramai kalangan mualaf itu sendiri tidak mengetahui saluran yang disediakan terutama ketika berdepan dengan masalah,” ujarnya.

Shila yang bijak menyusun setiap tutur katanya menyatakan, mereka yang tidak mengetahui saluran yang perlu dituju apabila berdepan dengan masalah menjadikan kebanyakan mualaf itu semakin buntu dan bertindak untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Keadaan semakin rumit sekiranya ahli keluarga mereka sendiri kurang atau tidak dapat menerima kehadiran mualaf ini dengan baik, jauh sekali memberi sokongan terhadap pegangan baru mualaf terbabit.

“Antara masalah yang sering dihadapi golongan mualaf apabila sukar mendapat pekerjaan, ditinggalkan suami, masalah kewangan juga dibenci, tidak diterima serta didera keluarga selain tidak mengetahui hala tuju hidup.

“Mualaf terutama yang baru memeluk Islam pasti memerlukan sokongan padu daripada semua aspek bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan dugaan hidup,” katanya.

Menurutnya, dia tidak keseorangan dalam membantu golongan mualaf kerana terdapat beberapa individu yang bukan saja banyak membantu malah sentiasa berusaha dalam menyelesaikan apa juga masalah dihadapi golongan terbabit.

Antara individu berkenaan ialah Penolong Pegawai Dakwah PERKIM Kebangsaan Amran Anbarasu Abdullah; Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan PERKIM Kebangsaan Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Muhammad Jais Mariappan Abdullah serta Penolong Pengurus Baitulmal MAIWP Umie Zaitun Junoh.

“Apa juga permasalahan yang diterima akan saya ajukan, seterusnya melakukan perbincangan bersama dengan empat individu terbabit sebelum kami bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Bagi saya, selain memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah kewangan dan kesempitan hidup mereka, kami juga berusaha memberi bantuan dari segi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada saudara baru ini,” ujarnya.

Shila berkata, sehubungan itu, dia bekerjasama dengan beberapa badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha merancang untuk mengadakan persidangan mualaf dalam tempoh terdekat ini khususnya bagi mengumpul golongan terbabit supaya mereka tidak rasa keseorangan.

“Persidangan itu akan membolehkan kami duduk bersama-sama dengan mereka untuk berkongsi mengenai apa juga dugaan serta masalah dihadapi terutama dalam membantu mencapai hala tuju kehidupan yang lebih bermakna.

“Selain bakal mengadakan persidangan ini, pelbagai program serta perbincangan sudah diadakan bersama golongan terbabit sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia turut mengharapkan kerajaan mewujudkan mekanisme yang lebih efisien khusus dalam membantu golongan mualaf di negara ini.

“Semua pihak termasuk masyarakat perlu berganding bahu dalam membantu dan menerima golongan ini supaya mereka tidak rasa tersisih dan terbeban secara bersendirian dengan dugaan hidup.

“Amat menyedihkan apabila mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan ini terpaksa kembali kepada keluarga asal mereka dan tinggal bersama sebelum

murtad secara tidak sengaja kerana tidak mempunyai pegangan dan ilmu agama mencukupi,” ujarnya.

Shila berkata, perkara itu sememangnya mahu dielakkan dan disebabkan itu dia sentiasa berusaha untuk menyelamatkan mualaf yang mengalami dugaan hidup.

“Sebagai masyarakat sekeliling, kita seharusnya memberi sokongan serta bantuan sedaya mungkin bagi menaikkan semangat mereka dan terus mendalami Islam.

“Sekiranya mengetahui sesuatu masalah dihadapi golongan itu, ia perlu segera dilaporkan kepada pihak berkaitan bagi menyelamatkan mereka,” katanya.

Terima cacian keluarga hampir setiap hari

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Itu perumpamaan tepat menggambarkan kesengsaraan hidup dialami wanita mualaf yang hanya mahu dikenali sebagai Farhana Abdullah.

Bukan saja menerima cacian serta tohmahan daripada keluarga yang tidak memberi sokongan serta persetujuan dia memeluk Islam malah lebih memeritkan apabila dia ditinggalkan suami tanpa khabar berita sejak awal tahun lalu.

Berusia lingkungan 30-an dan mempunyai lima cahaya mata berusia antara tiga hingga 12 tahun, wanita ini diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila dibebani pelbagai masalah hidup terutama untuk mendapatkan tempat tinggal bagi membolehkannya bersama lima anaknya berteduh.

Menceritakan keperitan hidup dialami Farhana, sukarelawan Shila Lama Abdullah berkata, perkahwinan Farhana bersama suaminya tidak didaftarkan semula selepas mereka memeluk Islam kira-kira 10 tahun lalu lantaran itu dia kini berdepan dengan pelbagai masalah.

“Hidupnya semakin terumbang-ambing disebabkan tidak memiliki sijil pernikahan sah dan tak mempunyai sijil perkahwinan asal sewaktu sebelum memeluk Islam.

“Farhana yang tidak bekerja itu bukan saja kesempitan wang malah lebih memeritkan apabila dia tidak mempunyai tempat tinggal yang membuatkannya semakin terdesak,” katanya.

Menurut Shila, disebabkan tidak mempunyai pilihan lain, Farhana bersama lima anaknya terpaksa menumpang tinggal bersama ibunya di sekitar Kuala Lumpur walaupun menerima tohmahan serta cacian hampir setiap hari.

“Keluarganya sering memarahinya kerana memeluk Islam menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan akibat bebenan masalah yang terlalu banyak.

“Dia semakin buntu sebelum mengadu masalahnya kepada saya sekali gus memohon bantuan,” ujarnya.

Menurut Shila, selepas mendengar kisah hidup wanita terbabit, dia kemudian membawa Farhana ke Baitulmal bagi memohon bantuan bersesuaian dengan masalahnya.

“Syukur, Farhana layak menerima bantuan sewa bulanan sebanyak RM500 sebulan yang membolehkannya mencari rumah sewa untuk berteduh.

“Namun, masalah yang timbul kini untuk mendapatkan rumah sewa di sekitar Sentul atau Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang disewa dengan harga di bawah RM500 sebulan,” katanya.

Shila berkata, Farhana terpaksa memilih untuk mendapatkan rumah di sekitar Sentul disebabkan anak sulungnya kini berada di tahun enam bakal menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Disebabkan itu, agak tidak sesuai untuk mereka tinggal di lokasi lain yang memerlukan anaknya itu terpaksa berpindah sekolah kerana ia akan mengganggu tumpuan pelajaran anak sulungnya.

“Sehubungan itu, saya amat mengharapkan mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan rumah sewa terbabit untuk tampil membantu Farhana,” ujarnya.

Menurut Shila, kini bagi menampung kehidupan terutama perbelanjaan persekolahan anak serta makanan, Farhana mengambil upah sebagai tukang cuci pinggan yang membolehkannya menerima gaji RM30 sehari.

“Saya bersama pihak berkaitan akan terus berusaha membantunya terutama bagi memastikan dia tidak berasa keseorangan serta menyesal kerana memeluk Islam.

“Sokongan amat diperlukan kerana golongan mualaf seperti Farhana kebiasaannya tidak mempunyai keluarga yang dapat membantunya ketika berdepan masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 12:12 PM