Oleh Muhamad Razis Ismail

Kota Bharu: Selangor berdepan denda sehingga RM100,000 atau digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya didapati bersalah susulan keengganan mereka melepaskan tiga pemain menyertai latihan skuad Pilihan Malaysia menentang Liverpool, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pemain yang didapati bersalah pula boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 mengikut Peraturan Status Pemain FAM.

Katanya, badan induk kebangsaan itu akan menghantar kertas pertuduhan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), bulan ini.

“Mereka diberi masa untuk menjawab balik dalam bentuk afidavit bagi menerangkan mengapa mereka tidak patuh dengan peraturan itu. Selepas itu, pihak jawatankuasa akan berbincang dan membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang dan fakta.

“Kalau pasukan, mungkin boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 manakala pemain RM50,000, bergantung sama ada persatuan tidak benarkan mereka bermain atau pemain itu sendiri yang enggan beraksi,” katanya.

Kontroversi FAS-FAM tercetus apabila Selangor enggan melepaskan tiga pemain Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi dan pemain import Robert Cornthwaite menyertai skuad Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada 24 Julai lalu dalam aksi persahabatan yang berkesudahan seri 1-1.

Alasan dikemukakan FAS ialah perlawanan berkenaan bukan berstatus A.

Pada 2008, FAS pernah didenda RM20,000 apabila empat pemainnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Safee Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal didakwa lari daripada klinik kendalian bekas penyerang kelab Liverpool Ian Rush.

Semua pemain itu didenda RM1,000 manakala jurulatih Selangor ketika itu Dollah yang dikatakan memberi arahan kepada keempat-empat pemain berkenaan supaya tidak menyertai klinik itu didenda RM10,000.

Lebih memeritkan, Selangor dipotong tiga mata dalam saingan liga sekali gus menyaksikan mereka terpaksa menamatkan kempen di tangga keempat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, dalam status kontrak yang ditandatangani pemain, jelas menyatakan pasukan perlu melepaskan pemain yang dipilih untuk mewakili skuad kebangsaan dalam semua pertandingan.

“Sekiranya mereka tidak berbuat demikian dan gagal memberi alasan munasabah, FAM boleh mengambil tindakan.

“Sebelum ini saya difahamkan, Selangor secara terang-terang tidak akan melepaskan pemain mereka. Lebih teruk, apabila Dollah Salleh hantar surat rasmi, mereka juga tidak memberi maklum balas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:08 PM