Beijing: Pihak berkuasa China menyiasat dakwaan salah laku seks terhadap ketua sami kontroversi dikenali sebagai ‘CEO monk’ yang menjadikan Kuil Shaolin empayar perdagangan berjaya.

Shi Yongxin dituduh bekas pengikutnya mempunyai hubungan dengan sami wanita sehingga mendapat beberapa anak luar nikah selain dituduh menggelapkan dana kuil.

Biro hal ehwal agama di bawah kerajaan tempatan Denfeng berkata, ia kini menyiasat dakwaan itu yang dibuat di Internet terhadap Shi.

“Pihak kami memandang serius dakwaan ini dan akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin bagi memastikan tiada salah faham berhubung isu itu,” kata kenyataan di laman web biro berkenaan.

Kenyataan itu tidak menyatakan dakwaan dikenakan secara terperinci, tetapi media tempatan melaporkan Shi dituduh mempunyai beberapa anak dengan sekurang-kurangnya dua wanita selain menggelapkan wang kuil.

Kuil berkenaan berkata di laman webnya, dakwaan berkenaan sekadar khabar angin palsu yang diada-adakan orang ramai untuk memberi persepsi negatif terhadap amalan Zen Buddha.

Februari lalu, Shi mengumumkan perancangan membina kompleks bernilai AS$297 juta (RM1.2 bilion) di Australia merangkumi kuil, hotel, akademi kung fu dan padang golf.

Dia dikritik kerana dianggap berusaha menjadikan kuil itu dan sami yang terkenal dengan kemahiran kung fu sebagai satu perusahaan komersial seterusnya menjadikannya sami paling terkenal di China. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:41 PM