Oleh Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan notis persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan SPR terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Berdasarkan penghakiman, mahkamah mendapati notis cadangan untuk persempadanan semula yang diterbitkan oleh SPR selaras dengan kehendak Seksyen 4(a) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

"Pada pendapat kami, maklumat dan butiran terperinci perlu didedahkan bagaimanapun bukan seperti yang diminta oleh Mahkamah Tinggi di dalam kes ini. Dalam mana-mana kes, adalah salah bagi Mahkamah Tinggi untuk mengatakan bahawa maklumat tidak didedahkan oleh SPR.

"Malah dalam kes ini, mereka (SPR) sudah mendedahkan Jadual Satu dan Dua notis itu. Oleh itu tidak ada isu bahawa SPR berniat jahat menyorok maklumat," katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan SPR menerbitkan semula notisnya untuk merangka semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi dalam keputusannya berkata notis bertarikh 5 Januari itu tidak lengkap bagi mereka yang terjejas untuk membuat keputusan.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sebelum ini meluluskan pindaan undang-undang ke atas Fasal 2 Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi keanggotaan DUN daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi pada 11 November lalu dan sudah diwartakan untuk dikuatkuasakan pada 5 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:19 PM