PADANAN celana potongan klasik serlahkan gaya yang lebih eksentrik dan selesa.
JAKET denim menjadi pelengkap gaya dalam gabungan ringkas ini.
ANTARA variasi skirt denim yang dihasilkan Levi’s dalam koleksi musim ini.
JEAN bukan saja ringkas dipakai malah kontemporari apabila digayakan dengan paduan lain.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Jean. Tiada betul atau salah dalam menggayakannya. Sepasang jean juga tidak lagi dianggap celana kala bersantai kerana ia mula diterima pakai sebagai salah satu item dalam padanan elegan.

Ia klasik, tetapi pada masa sama ia juga kontemporari. Ia ringkas dan ada ketikanya ia menghidupkan gaya yang lebih eksentrik.

Padukan celana jean dengan apa saja, ia pasti mencetuskan gaya tersendiri.

Kala bercerita mengenai jean, tidak lengkap andai tidak disertakan dengan sepasang Levi’s. Jean pertama di dunia itu sememangnya mempunyai budaya kultus istimewa dan rata-rata meletakkannya sebagai jean pertama dalam koleksi.

Ditampal, dibaiki, dicarik atau ditiruskan, jean Levi’s 501 ini menggambarkan bagaimana pemakainya menjalani kehidupan masing-masing.

Selama bertahun-tahun peminat dan pencinta Levi’s 501 ini taasub dengan mencipta stail unik pada padanan Levi’s miliknya.

Berdekad lamanya juga jean 501 ini menjadi kanvas kosong untuk mengekspresikan diri, daripada Marilyn Monroe hinggalah ke Rihanna, Marlon Brando serta Kurt Cobain.

Sejak diperkenalkan 150 tahun lalu, perubahan demi perubahan diharunginya dan Levi’s kembali dengan himpunan 501 yang diberi nafas baru bagi menepati gaya era ini.

Berpaksikan atas nama 501 CT, jean baru ini memberi lebih banyak ruang pada bahagian pinggang agar ia disarungkan lebih rendah untuk padanan lebih selesa sementara bahagian kaki ditiruskan dari lutut hingga ke buku lali, sekali gus tidak memerlukan pengguna melakukannya sendiri.

Seiring dengan koleksi musim ini yang memberi penghormatan pada San Francisco, ciptaan terbaru jean 501 CT ini boleh didapati dalam pelbagai reka bentuk denim asli, yang diilhamkan dari San Francisco dan California - tempat bermulanya Levi’s dan Original 501.

Dengan himpunan seperti Precita (diilhamkan daripada pakaian vintaj), Old Favorite (helaian santai dengan efek lusuh, bersama semburan peluntur dan kesan koyak pada lutut), Cali Cool (gaya asli dengan sedikit efek penghalusan tangan, juga enzim basuhan) dan Rolling Fog (stone-washed dan diluntur serta diilhamkan daripada sejarah bandar yang berkabus juga olahan cahaya), himpunan ini meraikan Levi’s pada masa lalu, kini dan akan datang.

Tidak kiralah ia variasi pudar dengan efek lusuh atau dipakai tinggi atau rendah pada pinggul, setiap helaian jean 501 CT ini juga sesuai untuk pelbagai acara.

Wujud tiga cara pemakaiannya iaitu Down-Sized, True-To-Size dan Up-Sized. Down-Sized terarah kepada padanan moden dan langsing.

Untuk True-To-Sized pula memberi tumpuan kepada padanan klasik sementara Up-Sized lebih kepada padanan santai.

Sebagai tambahan, kemeja-T jenis Classic Crew atau kemeja berbutang menarik untuk si lelaki sementara beberapa blaus dan gaun denim untuk wanita yang tampil cool apabila dipadankan bersama kasut sneaker.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:02 AM