Oleh Ustaz Haslin Baharin

Bolehkah kita melakukan akikah untuk anak yang sudah meninggal dunia? Mereka belum diakikah sewaktu kecil walaupun bapa mereka bermampuan dan kedua-dua anak itu pula pulang ke rahmatullah pada usia remaja.

INAH, Segambut

Akikah hukumnya sunat dan ia dipertanggungjawabkan pada orang yang menafkahi atau bertanggunjawab terhadap seseorang anak seperti bapa atau datuknya. Bagi anak tidak sah taraf, ibunya disunatkan melakukan akikah untuknya.

Jika mereka yang lain ingin melakukan untuk anak itu, perlulah meminta izin daripada mereka. Tidak sah akikah tanpa izin mereka yang bertanggungjawab terhadap anak berkenaan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Anak kecil dipertaruhkan dengan akikahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ketujuh, diberi nama dan dicukur rambutnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Maka pemahaman yang umum daripada hadis itu, sembelihan akikah boleh dilakukan oleh sesiapa saja selagi mendapat izin daripada penjaga kanak-kanak iaitu ibu bapa atau datuknya. Umur yang disepakati ialah sejak lahir hingga usia baligh. Ada juga pendapat membolehkannya, walaupun selepas baligh sebagai ganti atau qadha. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 12:40 AM