RENAULT Captur.
RENAULT Captur.
RUANG kaki yang luas.
RUANG kaki yang luas.
TOMBOL gear.
TOMBOL gear.
KOKPIT yang kemas dan bergaya.
KOKPIT yang kemas dan bergaya.
Oleh Erywan Norshal


Pemegang francais tempatan tunggal kenderaan jenama Renault, TC Euro Cars Sdn Bhd, memperkenalkan model ‘crossover urban’ pertama menerusi Renault Captur.

Crossover kompak yang sporty dan versatil itu ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM118,000 hingga RM123,000, dan dirancang dipasarkan pada suku keempat tahun ini.

Ia dibina menggunakan platform sama dengan Renault Clio baru yang dianggap sebagai penanda aras dalam segmen B dari segi kualiti pemanduan bagi memberi pengendalian lincah serta maklum balas enjin terbaik.

Sejak pelancarannya pada peringkat global, Renault Captur adalah model Renault yang paling popular selepas jualannya lebih 360,000 unit.

Malah, crossover urban itu dilihat semakin berkembang sekali gus menjadi model terlaris dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz kecil di pasaran Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen berkata, Renault Captur adalah penambahan dalam rangkaian produk Renault dengan menampilkan rekaan baru.

Model itu, menurutnya, diinspirasikan daripada tiga kata kunci iaitu ringkas, sensual dan hangat, selain menjadikan strategi reka bentuk baru yang akan mengepalai visi jenama berkenaan pada masa depan.

“Jentera berkonsepkan kompak di luar tetapi luas dan versatil pada ruang dalamannya, dilihat berjaya mengubah crossover menjadi sebuah kenderaan untuk kegunaan harian.

“Ia memang sesuai untuk lelaki dan wanita moden pada masa ini yang mempunyai harapan dan keperluan berbeza,” katanya.

Selain itu, ruang dalamannya direka supaya mesra penumpang dengan pelapik tempat duduk boleh dibuka supaya lebih mudah dicuci. Tempat duduk hadapan ala ‘bucket’ dan stereng dibalut dengan kemasan kulit kelabu sekali gus menonjolkan sisi sporty rekaannya.

Prestasinya tidak boleh dinafikan apabila menggunakan enjin turbo kawalan kecekapan (TCe 120) yang mampu menghasilkan kuasa setara dengan enjin 1.8L konvensional.

Rangkaian kuasa itu membolehkan Captur menjana kuasa mencecah 120 kuasa kuda pada 4,900 rpm dan tork puncak 190Nm yang boleh diperoleh pada putaran enjin serendah 2,000 rpm. Ia juga digabungkan dengan transmisi enam kelajuan ‘Efficient Dual Clutch’ yang menawarkan penukaran gear pantas dan lancar.

Renault Captur didatangkan dengan empat pilihan warna dan ditawarkan jaminan kilang lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:01 AM