KAKA (kiri) dan Jue bernaung bersama di bawah pengurusan bakat Uprising Entertainment.
Oleh Norhayati Nordin


Persahabatan memang mudah dijalin, namun mempunyai sahabat baik yang akan bersama di kala susah dan senang bukan sesuatu yang mudah. Hanya sahabat sejati setia bersama temannya.

Inilah realiti persahabatan dijalin antara penyanyi Kaka Azraff dan pelakon jelita, Juliana Evans yang sudah berkawan baik sejak enam tahun lalu. Hubungan persahabatan mereka terjalin secara kebetulan.

Mengimbau semula perkenalan lalu, dua figura remaja industri huburan tempatan semakin meningkat naik ini mengakui mereka tidak sangka akan berkawan baik meskipun perkenalan berlaku antara sesama rakan.

Kata Kaka, 26, dia mula mengenali Juliana atau Jue, 26, ketika sama-sama lepak minum bersama rakan. Ujarnya, dia pun tak sangka rakan itu juga kawan baik Jue.

“Sebenarnya kami berkawan baik lima orang termasuk Jue. Nak dijadikan cerita juga, rakan saya itu peminat tegar ibu saudara saya, Ella. Jadi, apabila mereka tahu hubungan saya dan Ella, lagilah kami jadi rapat.

“Ditambah pula ada kalanya Ella datang menemani saya dan kami lepak bersama. Itu membuatkan hubungan persahabatan dijalin menjadi erat. Apa yang paling utama, kami berlima satu kepala,” katanya .

Menganggap Jue seorang rakan yang tidak kedekut ilmu, Kaka selesa dan serasi berkawan dengannya ditambah pula sikap matang dan berfikiran luas gadis kacukan Melayu-Inggeris itu.

Kaka sedar, Jue berdikari membina nama dalam industri hiburan sejak remaja dan melihat rakannya itu individu yang banyak memberi dorongan ketika dia mahu berputus asa.

“Sekitar 2010, saya tiba-tiba rasa mahu berputus asa dalam bidang seni dengan memilih untuk cuba kerja pejabat saja. Bagaimanapun, Jue yang tahu saya minat pada nyanyian memperkenalkan saya dengan Zizan Razak.

“Ketika itu Zizan ada menawarkan Jue bekerjasama dengannya untuk single Bawaku Pergi. Namun, Jue yang ada bakat menyanyi enggan terima sebaliknya peluang itu diberikannya kepada saya. Syukur lagu Bawaku Pergi berjaya menambat hati pendengar,” katanya.

Kaka sangat berhutang budi dengan Jue dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dipertemukan seorang rakan sebaik Jue. Ujarnya, Jue nyata bukan rakan makan sorang dan dia sanggup berkongsi rezeki dengan kawan lain.

Bagi Jue pula, Kaka seorang rakan yang mudah didekati dan cepat mesra. Katanya, Kaka juga seorang yang memahami dan paling penting dia boleh dipercayai dan itu kriteria penting dalam persahabatan.

“Selain itu, bila kami sesama rakan lepak bersama selalunya masing-masing hanya berbincang perkara berfaedah dan jauh sekali bercakap mengenai orang lain. Ia membuatkan saya sangat selesa.

“Saya kurang gemar bercakap atau mengambil tahu hal orang lain. Jadi, sepanjang menjalin persahabatan dengan Kaka, kami bukan saja satu kepala tetapi berkongsi minat sama suka berkaraoke,” katanya.

Sama-sama bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Uprising Entertainment, Jue berkata dia dan Kaka juga ada membintangi filem bersama ia–itu 7 Dimensi Aliff arahan Faisal Ishak terbitan Astro Shaw pada awal tahun ini.

Kaka, Jue sibuk di lokasi

Mula dikenali sebagai penyanyi dan kini turut berlakon, Kaka akui pembabitannya dalam lakonan sekadar minat untuk mencuba tetapi keutamaannya tetap pada nyanyian.

Katanya, dia kini sibuk berlakon Plan Cinta Tak Jadi sebanyak 13 episod membawa watak pembantu sebagai Sara. Ia turut dijayakan Fathia Latif, Fattah Amin, Arja Lee dan Ramona Zam­zam.

“Saya bukanlah pelakon tetapi penyanyi. Disebabkan itu, pemilihan watak yang saya terima pun tidak terlalu berat dan mengikut kemampuan diri. Saya tidak berani menerima watak mencabar lagi.

“Saya pun sekarang masih dalam proses belajar dan masih banyak kekurangan dalam lakonan perlu diperbaiki,” katanya yang mula melangkah dalam lakonan selepas membintangi dua teater, Projek Kahwin dan Bukan 404.

Mengenai nyanyian pula, Kaka berkata dia dalam proses mencari material untuk lagu baru termasuk akan sibuk untuk promosi dan publisiti single barunya bersama Sleeq, Bukan Hal Aku.

Sementara Jue pula, kini sibuk di lokasi penggambaran drama Oh My English! (OME). Dia tidak menyangka karier lakonannya makin menyerlah meskipun baru pulang ke Malaysia.

“Saya gembira hingga kini tawaran berlakon diterima tidak putus. Jika tiada aral, saya akan ke set penggambaran filem bergenre aksi pada Oktober nanti. Bukan hanya sebagai pelakon, saya juga akan bertindak sebagai pengarah bersama untuk filem itu.

“Apapun, buat masa ini saya masih tidak boleh memberitahu judul filem berkenaan. Namun, saya teruja untuk menjadi pengarah bersama dan inilah masanya untuk saya memperaktikkan segala ilmu yang saya belajar dulu,” katanya.

Jue yang memiliki ijazah dalam bidang filem, video dan pengajian media dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat berkata, dia sudah pasti takkan sia-siakan peluang dan kepercayaan yang diperoleh itu.

Mengenai lakonannya dalam OME, Jue berkata setakat ini hanya itu tawaran drama diterima dan dia seronok terbabit dalam OME dengan watak Taylor, pelajar perempuan dari Amerika.

“Saya suka dan selesa dengan watak Taylor. Bahkan saya juga teruja dengan jalan cerita drama OME yang sarat dengan pengetahuan dalam usaha membantu meningkatkan keyakinan dalam penguasaan bahasa Inggeris yang betul.

“Memang seronok membintangi drama ini kerana barisan pelakon lain juga sangat membantu,” katanya.

Selain berlakon drama dan filem, Jue juga sibuk dengan penggambaran iklan komersial sebagai duta untuk produk seperti Samsung, syampu Clear dan Silky Girl. Dia juga akan muncul sebagai duta untuk satu produk tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:03 AM