NAJMI (tengah, barisan belakang) bersama atlet dan tenaga pengajar muay thai Terengganu di AMTT.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Persatuan Muay Thai Terengganu (PMTT) giat menjalankan sesi uji bakat bagi mengenal pasti tiga atlet wanita yang layak mewakili negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan muay thai di negara ini.

Presiden PMTT Najmi Abdullah berkata, pihaknya sedang berusaha mencungkil bakat baru dalam sukan seni mempertahankan diri itu melalui Akademi Muay Thai yang diwujudkan di negeri itu.

“Kami menggalakkan remaja seawal usia 12 tahun untuk mengikuti latihan muay thai yang dijalankan di dua Akademi Muay Thai di negeri ini termasuk Akademi Muay Thai Terengganu (AMTT) di Gong Badak.

“Melalui akademi itu, kami akan mengenal pasti atlet berbakat dan mempunyai potensi untuk diketengahkan seterusnya mewakili negeri ke SUKMA jika sukan itu dipertandingkan,” katanya selepas majlis Perasmian AMTT di sini, semalam.

Turut hadir, jurulatih Muay Thai SUKMA Terengganu Hafiz Rozaidi dan Penasihat Persatuan Muay Kayu Kelat Besut Shamsueffendi Mohamad.

Najmi berkata, PMTT sebelum ini terpaksa menggunakan khidmat tiga atlet wanita dari negeri lain untuk mewakili negeri ke kejohanan muay thai yang dianjurkan di dalam negara termasuk SUKMA.

“Kali ini kami berhasrat untuk melahirkan sendiri atlet wanita bagi membawa cabaran negeri ke kejohanan yang dianjurkan pada peringkat kebangsaan dan SUKMA.

“Sempena pembukaan akademi baru di Gong Badak, kami menerima lebih 10 ahli wanita yang berminat mengikuti latihan muay thai di pusat latihan itu selain 40 pendaftaran peserta lelaki dan mereka akan dibimbing jurulatih SUKMA Terengganu,” katanya.

Menurutnya, seramai 13 atlet muay thai sedia ada dari negeri ini akan menyertai Kejohanan Muay Thai Antara Kelab-Kelab Kebangsaan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Penyertaan itu sebagai sesi pemanas badan selain memberi pengalaman kepada 13 atlet muay thai negeri ini sebelum menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa nanti,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:08 AM