Ranchi (India): Lima wanita diseret keluar dari rumah mereka dan dibelasah hingga mati oleh penduduk kampung yang terpengaruh dengan tuduhan kononnya wanita terbabit mengamalkan sihir.

Menurut ibnlive.com, Timbalan Ketua Polis negeri negeri Jharkhand di timur India, Arun Kumar, berkata wanita terbabit berusia antara 32 hingga 50 tahun dibelasah dengan kayu oleh penduduk perkampungan Kanjia pada tengah malam Jumaat lalu.

“Mayat mangsa dimasukkan ke dalam guni dan dicampak di satu kawasan. Penduduk membantah apabila polis ke kampung itu bagi melakukan siasatan dan mencari mayat mereka,” katanya.

Lima wanita itu dituduh mengamalkan sihir selepas kematian tiga penduduk dan polis sudah menahan 27 orang.

Menurut AFP, polis kini sedang mencari seorang wanita yang dipercayai mencetuskan pembunuhan itu dengan menyebarkan khabar angin mangsa mengamalkan sihir.

“Wanita itu yang mencetuskan kejadian ini dan kami akan mendakwanya dengan tuduhan membunuh selepas menahannya,” kata Arun.

Menurut keluarga mangsa serangan itu dilakukan selepas kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sakit minggu lalu.

Mereka hanya mampu melihat apabila kumpulan penduduk sehingga 50 orang menyerbu masuk ke dalam rumah dan mengheret keluar mangsa sambil menjerit ‘Ahli sihir! Ahli sihir’.

“Ibu saya memakai rambut palsu dan penduduk percaya rambut itu ada kuasa sihir yang menyebabkan remaja berkenaan mati,” kata Angi Oraon kepada Hindustan Times.

Animiha Khalko, 25, berkata penduduk mengheret keluar ibunya dan membelahnya dengan belantan serta kayu.

“Pukulan dengan seketul batu di kepala menyebabkan dia cedera parah hingga mati. Saya hanya mampu melihat dari dalam rumah,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 7:09 PM