Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Memang kecewa keputusan malam tadi (kelmarin) selepas kita berjaya memberikan tentangan sengit kepada JDT (Johor Darul Ta’zim). Malah, banyak percubaan dilakukan jentera serangan namun dipatahkan,” kata pengendali ATM Azhar Abdullah.

ATM tewas tipis 0-1 kepada JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, sekaligus membolehkan skuad Harimau Selatan merampas kedudukan selaku pendahulu liga daripada Pahang yang tewas 2-4 kepada LionsXII.

Azhar berkata, sasaran awalnya adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang sendiri tetapi tidak berhasil.

Menurutnya, anak buahnya sudah berusaha memberikan tentangan habisan kepada JDT namun kesilapan bahagian pertahanan, membuatkan skuad kendalian Mario Gómez mengambil kesempatan menjaringkan gol yang juga mata kemenangan menerusi pemain gantian Mohd Safee Sali.

Katanya, beliau akui strategi diaturkan berhasil hingga memaksa JDT menunggu m-70 untuk menjaringkan gol.

“Malah pemain ATM juga berjaya mencipta beberapa peluang di hadapan pintu gol JDT, namun gagal diterjemahkan dengan baik.

“Biarpun ATM sudah menunjukkan peningkatan dalam persembahan berbanding dalam tiga perlawanan lalu iaitu menentang Kelantan, Terengganu dan Pahang, tetapi jelas tidak memberikan sebarang makna kerana gagal meraih sebarang mata,” katanya semalam.

Skuad The Gladiators kini kekal di tangga kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul 10 mata dan perlu menang baki empat perlawanan jika mahu memastikan kekal dalam liga musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:01 AM