CHONG Wei
CHONG Wei

Jakarta: Pemburuan Datuk Lee Chong Wei untuk meraih kejuaraan dunia buat kali pertama sedikit terjejas selepas bekas pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan di kaki kanannya.

 Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen selepas Chong Wei tidak kelihatan pada sesi latihan semalam.

Bagaimanapun jelas Frost, Chong Wei dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang perlawanan pusingan pertama menentang pemain Lithuania Kestutis Navickas esok.

“Anda sendiri dapat saksikan Chong Wei tiada pada sesi latihan hari ini (semalam) sebab dia mengalami kecederaan di tumit kanannya.

“Jadi tiada sesi latihan di atas gelanggang untuknya tetapi kami yakin dan percaya dia akan cergas sepenuhnya pada perlawanan pertama Selasa (esok) nanti,” katanya.

Jelas Frost, beliau tidak mahu memaksa Chong Wei turun pada sesi latihan bagi mengelak kecederaannya itu bertambah teruk.

“Dia sedang berusaha memulihkan kecederaannya itu Seperti saya katakan tadi, ia hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tiada persiapan ‘sempurna’ untuk seseorang pemain, begitu juga yang dilalui oleh Chong Wei,” katanya.

Sementara itu, Frost berkata, ketika ini adalah amat penting untuk Chong Wei fokus sepenuhnya kepada dirinya sendiri tanpa mendapat sebarang gangguan.

“Kami berusaha untuk melindunginya sebaik mungkin dan saya rasa kami sudah berjaya melakukan tanggungjawab itu dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:06 AM