ANTARA babak dalam MKR.
ANTARA babak dalam MKR.
ANTARA babak dalam MKR.
AKSI melucukan dalam MKR.
ANTARA babak dalam MKR.
Oleh Ramlah Zainal


Kemunculan penyanyi Dafi yang melakonkan watak lelaki lembut, Amy Amiro ternyata berjaya mencuri tumpuan ramai pada malam pembukaan pementasan Teater Maduku Kalut Returns (MKR) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Jumaat lalu.

Ternyata Dafi berjaya melakonkan watak itu dengan berkesan, sekali gus membuatkan penonton terhibur sepanjang pementasan teater itu. Pada pementasan sebelum ini, watak lelaki lembut itu dilakonkan pelakon dan pengacara, Karl Shafek.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri mengakui dia berusaha menyahut cabaran melakonkan watak Amy Amiro seperti dikehendaki skripnya.

“Pada mulanya, saya bimbang untuk melakonkan watak lelaki lembut kerana takut dengan tanggapan negatif masyarakat. Namun, selepas berfikir masak-masak, akhirnya saya terima kerana ia kali pertama melakonkan watak sedemikian sepanjang lapan tahun terbabit dalam bidang seni tanah air sejak 2007.

“Pada masa sama, saya juga percaya penonton sudah bijak untuk menilainya kerana ia sekadar lakonan semata-mata,” katanya.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini juga pernah beraksi dalam beberapa pementasan teater sebelum ini iaitu Kenangan Mengusik Jiwa, Dreamsgirl dan Di Bawah Lindungan Kaabah.

Selain Dafi, penampilan pelakon popular Nad Zainal yang memegang watak Mimi juga menyerlah dalam pementasan semula itu. Pernah beraksi dalam pementasan Diari Wanita dan Mak Yong Sindo ternyata kemunculan Nad yang memegang watak isteri kedua yang manja dan gedik tidak menghampakan penonton.

Walaupun kali pertama digandingkan dengan Remy dalam pementasan semula itu, ia bukan penghalang buatnya untuk menonjolkan keserasian sebagai pasangan suami isteri.

Remy tidak kisah dibandingkan dengan Izzue

Barangkali peminat teater MKR sudah sinonim dengan lakonan Izzue Islam sebagai Selamat dalam pementasan sebelum ini. Apatah lagi, pementasan MKR pernah mencetuskan fenomena pada 2013.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang membandingkan lakonan Remy dan Izzue pada pementasan semula MKR. Bagaimanapun, lakonan Remy kurang menyerlah pada malam pembukaan teater MKR kerana dia kurang sihat sehingga menjelang hari pementasan.

Pada masa sama, ia adalah percubaan pertama Remy untuk beraksi di pentas teater berkonsepkan ‘farce’ komedi’. Menurut Remy, dia juga kurang sihat sejak seminggu lalu kerana demam.

“Walaupun kurang sihat dan tidak cukup latihan, saya berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan pada malam pementasan seterusnya sehingga ia berakhir semalam.

“Saya tidak kisah dibandingkan dengan lakonan Izzue sebagai Selamat kerana percaya setiap pelakon ada kekuatan dan peminat tersendiri. Apa yang penting, penerbit dan pengarah teater ini berpuas hati dengan lakonan saya dan sekali gus penonton turut terhibur,” katanya.

MKR adalah adaptasi daripada karya Inggeris popular Run For Your Wife yang ditulis Roy Cooney dan dipentaskan kali pertama di West End, London, England pada 1983.

Teater arahan Azhar Zainal terbitan Mask Team ini dipentaskan di Panggung Sari IB selama tiga hari pada 7 hingga 9 Ogos lalu.

Pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak (Selamat), Nad Zainal (Mimi), Jihan Muse (Bibi), Sherry Al-Hadad (Sarjan Manisah), Atoi Tohet (Sarjan Hassan), Nasz Sally Tasha/Pemberita), Dafi (Amy Amiro), Sharul Naim (Budak punk), Aqeela K (Nyonya).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 9:10 AM