LORENZO (belakang) memberi tentangan sengit kepada Marquez. FOTO EPA

Indianapolis: Marc Marquez menemui penyudah terbaik melengkapi minggu kurang sempurna dengan mencipta hatrik dalam laluan menjuarai MotoGP Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu mengatasi rakan senegaranya yang beraksi agresif, Jorge Lorenzo ketika saingan perlumbaan berbaki tiga pusingan sebelum ditamatkan.

Marquez mengatasi Lorenzo dengan hanya 0.688 saat yang dianggap jurang paling rapat dalam sejarah lapan tahun MotoGP.

Pendahulu kejuaraan, Valentino Rossi dari Itali menamatkan saingan di tempat ketiga ketinggalan enam saat di belakang.

"Saya dapat mengekorinya pada awal tetapi saya mendapati sedikit ketinggalan setengah saat pada pertengahan saingan," kata Marquez.

"Pada penghujung saya mendapat peluang memintas Lorenzo," katanya.

Kemenangan membolehkan Marquez melebarkan rekod kejayaan di litar Amerika

Syarikat dengan tujuh kemenangan.

Dia mencatat kejayaan kelima MotoGP di Brickyard termasuk dua podium kemenangan Moto2 pada 2011 dan 2012.

Legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher satu-satunya pelumba dalam kejuaraan utama meraih empat kemenangan berturut turut di Indy antara 2003-06. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 2:42 PM