Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Polis Kota Setar berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang peniaga ubat akar kayu yang maut akibat dipukul adiknya di Kampung Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena, di sini, selepas suspek utama kejadian itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di tepi jalan di sebuah kawasan kebun getah di Kampung Padang Kerasak, Mukim Tekai Kiri, Naka, di sini.

Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Pokok Sena hasil maklumat awam dan risikan dijalankan.

"Bertindak atas laporan daripada orang awam yang melihat suspek berlegar-legar di kawasan itu sepasukan anggota polis ke lokasi dan menahan suspek bersama seorang rakannya juga berusia 25 tahun.

"Soal siasat awal suspek mengaku sebagai adik peniaga ubat akar kayu itu dan berasal dari Kampung Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang dan rakannya berasal dari Kampung Senara, Mukim Rambai, Kubur Panjang," katanya.

Katanya suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pokok Sena untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita turut menahan rakannya untuk diambil keterangan dan dengan penahanan suspek ini polis menganggap kes berkenaan selesai," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Khamis lalu, berlaku pertengkaran antara suspek dengan mangsa, Mohd Yusoff Gozali, 32, sebelum suspek yang tiba-tiba 'naik angin' bertindak membaling satu objek dipercayai besi lalu mengenai kepala mangsa.

Berikutan itu, mangsa mengalami pendarahan teruk akibat kecederaan di kepala serta hidung dan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), manakala suspek yang ketakutan melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:28 AM