Oleh Aziman Rosdi

Bukit Jalil: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menumpukan sepenuhnya terhadap program pembangunan pemain selepas Liga Malaysia (Liga-M) diswastakan tahun depan.

Menurutnya, FAM bakal meraih pendapatan lebih besar menerusi penswastaan liga itu namun ia perlu dilaburkan dalam program pembangunan dan bukannya pengurusan liga.

“Saya harap bila liga sudah diswastakan, biarlah peruntukan untuk membayar gaji pemain bola sepak itu hasil daripada penswastaan itu. Duit yang FAM dapat biarlah digunakan untuk pembangunan, jangan lagi duit FAM digunakan lagi untuk liga dan sebagainya,” katanya dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan semalam.

FAM sebelum ini mengorak langkah menjelang penswastaan Liga-M apabila melantik MP & Silva sebagai rakan kongsi baru yang memberi jaminan akan memenuhi kantung badan induk itu dengan pendapatan RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun, bermula 2016.

Bagi menguruskan liga secara profesional, FAM bersetuju menubuhkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Namun beberapa kontroversi timbul apabila ada pihak mula mempertikaikan jumlah agihan pendapatan atau hak penyiaran yang sepatutnya diterima persatuan negeri dan kelab yang bertanding.

Antaranya yang lantang adalah Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta presiden persatuan bola sepak negeri dan kelab tidak menjadi pengecut sebaliknya tampil menuntut hak penyiaran mereka.

Beliau berkata, semua persatuan sepatutnya menerima 70 peratus daripada hak penyiaran seperti di luar negara dan bukan 30 peratus sebagaimana ditetapkan FAM sebelum ini.

Khairy berkata, dengan pengurusan yang lebih profesional, beliau berharap FAM dapat mengagihkan dengan bijak pendapatan mereka kepada ahli gabungan.

“Harapan saya bila kita sudah swastakan liga, kita harap akan lebih profesional. Kita berharap penjanaan kewangan itu dapat dikongsi dengan baik dalam kalangan kelab dan (persatuan bola sepak) negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:22 AM