SEORANG wanita Houthi memegang raifal mainan ketika menunjuk perasaan membantah serangan yang diketuai Arab Saudi di luar pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sanaa, semalam.
AFP

Aden: Kumpulan yang setia kepada kerajaan dalam buangan Yaman menawan sebuah bandar di selatan Sanaa, kejayaan terbaru mereka dalam menentang pemberontak Houthi.

‘Jawatankuasa Tentangan Popular,’ kumpulan yang terdiri daripada pejuang prokerajaan, suku kaum Sunni dan pemisah selatan menawan bandar Utmah, kira-kira 100 kilometer ke selatan Sanaa,” kata pegawai semalam.

Bandar itu terletak di wilayah Dhammar yang majoriti penduduknya Syiah.

Pasukan prokerajaan itu juga menawan enam bandar di wilayah pergunungan Ibb, tengah Yaman, tempat suku kaum Sunni tempatan bertempur selama beberapa bulan dengan Houthi.

Dengan sokongan serangan udara daripada pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi, kumpulan itu berusaha sejak beberapa bulan lalu untuk mengembalikan kuasa Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini berlindung di Riyadh.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak memberi butir mengenai jumlah kematian dalam pertempuran itu.

Kumpulan prokerajaan melancarkan serangan balas besar-besaran sejak beberapa minggu lalu dan sebelum ini berjaya menawan empat wilayah selatan, Abyan, Aden, Daleh dan Lahj.

Mereka kini berusaha menguasai Taez, bandar ketiga terbesar Yaman yang terletak di barat daya Sanaa.

Kejayaan menguasai Taez akan memberi tamparan besar kepada Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman sejak akhir tahun lalu, termasuk ibu negara, Sanaa.

Kejayaan pejuang prokerajaan itu dicapai selepas mereka menerima senjata lebih canggih, termasuk kereta kebal, sumbangan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 7:27 AM