Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

KUALA LUMPUR: Lima lagi jenazah mangsa nahas MH17 termasuk Allahyarham Muhammad Afruz Tambi akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 8.30 pagi, Jumaat ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, ketibaan kumpulan keenam jenazah berkenaan akan diberikan istiadat penghormatan penuh angkatan tentera.

Beliau berkata, selain Muhammad Afruz, ahli keluarga terakhir keluarga Allahyarham Tambi Jiee, jenazah lain ialah Liew Yaw Chee, Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam.

"Berikutan ketibaan kumpulan keenam berkenaan, sejumlah 42 rakyat Malaysia yang terbabit dalam tragedi itu sudah kembali ke tanah air.

"Setakat ini, 27 penumpang dan 15 anak kapal rakyat Malaysia sudah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Oktober 2014 @ 9:49 PM