JUALAN album Boyz || Men cecah 60 juta di seluruh dunia.
Oleh Michelle Gun

Hampir tiga dekad membina nama, kembara seni kumpulan R&B tersohor Boyz II Men tidak pernah bernoktah.

Dianggotai Nathan Morris, Shawn Stockman dan Wanya Morris, Boyz II Men meraih kejayaan besar apabila jualan album mencecah 60 juta di seluruh dunia.

Dalam pada sibuk menjayakan konsert jelajah di Amerika Syarikat, trio itu sempat melapangkan masa beraksi dengan David Foster dan empat lagi penyanyi terkenal di Arena of Stars, Resorts World Genting pada Jumaat ini.

Pada sesi temu bual khas baru-baru ini, Stockman berkata, Boyz II Men sudah lama mengenali Foster dan mengagumi bakat pemuzik hebat kelahiran Kanada itu.

“Kami pernah berkolaborasi dengan David (Foster) dalam beberapa persembahan dan program TV.

“Dia berbakat besar dan sudah tentu kami tidak akan menolak menyertai konsert jejalahnya,” kata Stockman.

Walaupun Foster terkenal dengan sikap tegas, Stockman menyifatkan kolaborasi dengan komposer itu menyeronokkan.

“Dia tahu bagaimana membetulkan keadaan. Pernah sekali, saya dan anggota Boyz II Men melihat dia menghasilkan lagu Michael Buble di studio. Sambil bekerja, dia bergurau dan kami berasa sangat selesa,” katanya.

Selain Foster, Boyz II Men juga pernah menghasilkan karya hebat bersama beberapa bintang terkenal antaranya Mariah Carey, Brandy, Babyface dan L.A Reid.

“Kami ingin berkolaborasi dengan Neyo dan Prince. Saya percaya gabungan suara kami dan dua penyanyi berbakat itu akan menghasilkan sesuatu yang hebat,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru Boyz II Men, Stockman mendedahkan selepas menghasilkan album ke-12 berjudul Collide pada 2014, mereka bakal muncul dengan album duet.

“Kami kini sibuk dengan pembikinan album duet yang dijangka berada di pasaran pada tahun depan,” katanya.

Stockman memaklumkan tidak sabar bertemu peminat di negara ini.

“Kami suka kerana rakyatnya peramah, saling menghormati dan baik hati.

“Negara ini unik kerana ada berbilang kaum dan kepelbagaian budaya.

“Ketika berada di negara ini, kami dilayan dengan baik malah terharu dengan sokongan peminat,” katanya.

Selepas persembahan di Genting Highland, Boyz II Men akan meneruskan konsert jelajah mereka di Australia dan New Zealand.

Antara lagu hits yang menaikkan kumpulan itu adalah End of the Road, I’ll Make Love to You dan One Sweet Day.

Selain memenangi empat anugerah Grammy Awards, Boyz II Men pernah muncul dalam salah satu episod drama How I Met Your Mother dan nama kumpulan itu turut diabadikan di Hollywood Walk Of Fame.

Sedih tanpa McCary

Awal kemunculan, kumpulan itu meraih perhatian pencinta muzik menerusi vokal mantap empat anggota namun berikutan masalah kesihatan Michael McCary terpaksa menarik diri pada 2003.

Biarpun perjuangan Boyz II Men diteruskan tanpa McCary, Stockman menyifatkan pengunduran rakannya itu sebagai kehilangan besar.

“Saya dan anggota lain menyayangi Michael (McCary). Seandainya ada cara lain, kami sanggup buat apa saja asalkan dia masih bersama kami.

“Malangnya, dia terpaksa meninggalkan kami kerana masalah kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 10:04 AM