FOTO L Manimaran
FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Lima senapang buatan sendiri yang dirampas dalam beberapa serbuan di daerah Kerian dan Taiping, dekat sini, sejak Ahad hingga semalam, dijual dengan harga serendah RM1,300 selaras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata senapang patah itu menggunakan peluru hidup.

Bagaimanapun, katanya, peluru penabur dipercayai bukan untuk tujuan jenayah tetapi untuk menjaga kebun dan memburu.

Menurutnya, enam individu yang ditangkap adalah lelaki Melayu dan senjata api yang dirampas adalah lima senapang buatan sendiri, dua senapang angin, satu senapang patah jenis Barreta serta beberapa komponen senjata yang dalam proses pembuatan.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah bengkel di Kampung Tua, Semanggol, Kerian serta menahan lelaki berusia 52 tahun yang juga adalah pembuat senapang berkenaan dan pemeriksaan menemui dua senapang buatan sendiri serta pelbagai peralatan membuat senjatapi.

"Hasil tangkapan itu, polis membuat lima lagi serbuan di Changkat Jering dan Changkat Ibol, Taiping serta di Semanggol, Kerian dan menahan lima lelaki Melayu berusia 44 hingga 63 tahun termasuk seorang ketua kampung yang kesemuanya memiliki senapang yang dibeli daripada suspek pertama," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, memiliki senjatapi tanpa lesen adalah kesalahan serius dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 2:06 PM